Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ini memberikan peluang kepada musuh Umno menggunakan perpecahan dalam parti itu bagi menarik pengundi menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti.
Beliau juga melahirkan kekhuatiran parti itu akan kehilangan sokongan orang Melayu jika tidak ada usaha mengembalikan keamanan di kalangan pemimpin parti, yang berjuang atas pandangan yang berbeza.
"Hari ini ada pihak seperti seronok melihat sesama pemimpin Umno bercakaran sesama sendiri, mereka seolah-olah mahu menunggu kehancuran parti itu," katanya dalam posting terbaru di blog beliau hari ini.
“Kita tidak agresif serang pembangkang, sebaliknya kita lebih ghairah menyerang, mencerca dan mengutuk sesama kita (Umno).
“Saya harap jangan wujud parasit dalam parti yang cuba menangguk di air keruh. Ini yang akan melemah dan merugikan perjuangan Umno.”
Beliau juga tidak menafikan terdapat krisis keyakinan dan pencanggahan pendapat sesama pemimpin Umno yang menjadi faktor kepada kekeruhan dalam parti itu.
Katanya, semua pemimpin Umno sama ada yang memegang tampuk kuasa atau yang tidak memegang sebarang jawatan, perlu memikul tanggungjawab mengukuhkan parti.
“Semuanya bertanggungjawab dan memikul amanah jika benar mereka sayangkan parti dan ikhlas berjuang untuk rakyat, terutama orang Melayu.”
Katanya, Umno akan dilihat relevan dan bersih di mata rakyat selagi pemimpinnya bertanggungjawab dan mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan peribadi.
“Masalahnya, orang pandang Umno tidak lagi seperti dulu. Ini yang kita sepatutnya fikirkan dan berusaha untuk menepis tanggapan sedemikian.
“Sebagai ahli Umno, tidak kiralah yang di atas mahupun di bawah, semuanya mempunyai peranan dan memberi sumbangan kepada parti, sehingga parti menjadi kukuh seperti hari ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga mengingatkan pengamal media sosial supaya tidak mensensasikan isu kecil sehingga boleh memudaratkan perpaduan dalam parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.