Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata, Umno bukan dimiliki oleh seorang ahli dan mengingatkan bahawa tidak lama dulu presiden parti itu pernah menyuarakan bahawa Umno perlu pembaharuan.
"Umno adalah hak kepada lebih tiga juta ahli yang telah bersama-sama mempertahankan parti keramat sejak sekian lamanya," tegasnya.
Beliau membuat peringatan itu sebagai respons kepada pengumuman mengejutkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan agung tiga sayap parti itu tidak akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti lazimnya.
"Tidak lama dulu presiden parti pernah menyuarakan dan mahukan supaya Umno perlu reform, setiap ahli parti di peringkat akar umbi perlu lakukan perubahan demi perubahan, bagi memastikan Umno ini kekal sebagai sebuah parti yang sentiasa relevan dengan peredaran masa, mampu menarik minat orang muda dan sebagainya.
"Tetapi sayangnya proses pembaharuan ini tidak lengkap dan tidak berlaku di peringkat bawahan sahaja.
"Sebaliknya ia perlukan komitmen dan juga sokongan di setiap peringkat, terutama di peringkat atasan yang mempunyai kemampuan menentukan hala tuju parti keramat ini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Katannya kalau itulah kehendak ketua-ketua sayap tersebut, maka beliau hormati keputusan kolektif tersebut, "tetapi sekurang-kurangnya takkanlah timbalan presiden dan naib-naib presiden tidak boleh berucap di dalam penggulungan?"
Berikut adalah kenyataan penuh Shafie:
Dalam menghormati keputusan Majlis Tertinggi yang diadakan baru-baru ini, saya berpandangan adalah tidak wajar ketetapan yang telah dilakukan oleh barisan Majlis Tertinggi yang secara terang menidakkan tradisi yang telah menjadi amalan Umno selama ini di mana ucapan timbalan presiden di dalam perasmian sayap-sayap itu ditiadakan.
Saban tahun mesyuarat agung Umno yang diadakan setahun sekali ini biasanya akan menghimpunkan ahli-ahli Umno dari semua peringkat akar umbi dari seluruh pelusuk negara. Adalah menjadi kebiasaan juga bagi ahli-ahli Umno ini untuk mendengar ucapan, pandangan, dan harapan bukan hanya dari presiden parti, bahkan suara akar umbi, termasuk timbalan presiden parti, naib-naib presiden dan juga para perwakilan.
Sebagai parti terbesar negara, kita tidak mahukan hanya ahli Umno sahaja yang terkesan dengan segala inisiatif dan juga agenda yang bakal dilakukan, sebaliknya kita juga mahu supaya apa yang dilontarkan boleh didengari tidak hanya oleh ahli Umno bahkan kita juga mahu jutaan rakyat Malaysia yang berada di luar dewan mendengar dan seterusnya menyokong kita.
Saya masih ingat semasa pertama kali saya mengikut ayahanda saya Tun Sakaran ke perhimpunan agung Umno pada tahun 1970-an di Hotel Hilton, tempat persidangan pada ketika itu bukan sahaja dipenuhi dengan asap rokok, malahan halwa telinga kita disajikan dengan ucapan-ucapan yang bernas, walaupun ada juga teguran-teguran lantang yang dibuat, tetapi saya dapat lihat setiap ahli Umno yang hadir termasuk barisan pemimpin tertinggi parti menerima setiap bait ucapan dan teguran itu dengan berlapang dada.
Setiap teguran yang dibuat pasti ianya untuk penambahbaikan dan juga asas kepada kekuatan parti terbesar negara ketika ini. Umno yang menjangkau usia 70 tahun sepatutnya lebih terbuka dan tidak hanya inklusif untuk kepentingan individu-individu tertentu. Umno bukan dimiliki oleh seorang ahli, Umno adalah hak kepada lebih 3 juta ahli yang telah bersama-sama mempertahankan parti keramat sejak sekian lamanya.
Walaubagaimanapun, kalau itulah kehendak ketua-ketua sayap yang lebih arif tentang perjuangan dan memahami perjuangan Umno lebih daripada pemimpin yang lebih berpengalaman, saya hormati keputusan kolektif tersebut, tetapi sekurang-kurangnya takkanlah timbalan presiden dan naib-naib presiden tidak boleh berucap di dalam penggulungan?
Saya yakin dan pasti ahli Umno peringkat akar umbi mahu mendengar, meniliti, dan menilai setiap apa yang ingin disampaikan oleh barisan pimpinan ketua-ketua sayap, naib-naib presiden, timbalan presiden dan seterusnya presiden parti sendiri. Saya percaya ahli Umno mampu membezakan mana yang baik untuk kekuatan serta penambaikan kepada parti dan sebaliknya.
Tidak lama dulu presiden parti pernah menyuarakan dan mahukan supaya Umno perlu reform, setiap ahli parti di peringkat akar umbi perlu lakukan perubahan demi perubahan, bagi memastikan Umno ini kekal sebagai sebuah parti yang sentiasa relevan dengan peredaran masa, mampu menarik minat orang-orang muda dan sebagainya.
Tetapi sayangnya proses pembaharuan ini tidak lengkap dan tidak berlaku di peringkat bawahan sahaja, sebaliknya ia perlukan komitmen dan juga sokongan di setiap peringkat, terutama di peringkat atasan yang mempunyai kemampuan menentukan hala tuju parti keramat ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.