GEORGETOWN - Lagu Saya Anak Malaysia pasti tidak asing dalam kalangan
masyarakat di negara ini, namun masih ramai yang tidak mengetahui
penyanyi utama lagu itu, Salim Ibrahim atau lebih dikenali sebagai dR
Sam Rasputin sudah pun tampil dengan imej berbeza.
Dahulu beliau lebih menggemari lagu berentak reggae dan berpakaian dengan imej ala rasta, Bob Marley.
Namun tidak lama kemudiannya beliau nekad untuk terus istiqamah demi
mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.Kini Sam tampil dengan imej
seorang pendakwah dengan membawa mesej-mesej Islam dan keamanan sejagat.
Menurutnya, dia mengakui masih giat mendalami ilmu agama sehingga ke
hari ini sekali gus menganggap ia sebagai penghijrahan diri yang besar.
“Saya akui ketika berada dalam dunia hiburan, apa yang saya lakukan
begitu banyak bertentangan dengan kehendak ALLAH SWT dan tidak takut
melanggar larangan-Nya.
“Ia kerana pada masa itu tiada hidayah dan hanya hiburan semata-mata yang menjadi mata pencarian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan program perkongsian di Pusat
Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), hadir sama Pengarah Pusat
Sejahtera USM, Dr Normala Abdul Wahid.
Sam terkenal pada era 1970-an hingga 1980-an, dan lagu paling
popularnya ialah ‘Saya Anak Malaysia’ turut dinyanyikan bersama Band
Rasputin dari Negeri Sembilan.
Ketika mengikuti pengajian di luar negara, Sam telah merantau ke
beberapa bandar utama termasuk London dan Paris untuk menjadi penyanyi
jalanan.
Kemudiannya dia dipertemukan dengan guru-guru agama apabila sudah
kembali ke tanah air selepas lima tahun mengembara di bumi asing.
“Banyak ilmu yang diperoleh semasa proses penghijrahan ini berlaku dan
yang paling menyentuh perasaan ialah apabila diri ini mula sedar dengan
merasai keyakinan kepada ALLAH SWT.
“Percaya adanya ALLAH SWT tetapi ketika itu hanya percaya tetapi belum
kuat keyakinan yang bermaksud percaya itu di akal,” katanya.
Tambahnya lagi, doa ibu antara kuasa yang tiada tandingannya kerana di
antara insan yang tidak berhenti berdoa demi kesejahteraannya.
“Dalam melakukan penghijrahan, menuntut ilmu adalah sangat penting
untuk kita terus memperbaiki diri, semua perkara yang dilakukan juga
haruslah diniatkan hanya kerana ALLAH SWT.
“Kedua ialah bermujahadah atau bersungguh-sungguh dalam berhijrah,
tetapi kita juga perlu sentiasa berdoa kerana orang yang tidak berdoa
adalah orang yang sombong dengan ALLAH SWT,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.