Khamis, 26 November 2015

Pentingkan pembangunan mewah, Iskandar bakal jadi ‘Sleeping City’?

iskandar1

Roketkini.com


JOHOR : Ahli Dewan Negeri (Adun) Stulang, Chen Kah Eng bimbang rancangan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar) bakal menemui kegagalan hingga menjadikannya bandar mati atau ‘Sleeping City’.

Katanya, strategi terlalu mementingkan sektor hartanah mengakibatkan gejala harga terlalu tinggi hingga berlaku gelembung hartanah, seterusnya mengakibatkan harga rumah terlalu melambung dan tidak mampu dibeli anak muda tempatan.

“Jika implementasi rancangan cenderung kepada sektor hartanah dengan standard terlalu tinggi dan tidak menyeluruh,  ia menyukarkan pembangunan ekonomi lain, seterusnya menggagalkan rancangan pembangunan.

“Ia juga boleh mengakibatkan bekalan melebihi permintaan. Sekiranya gagal memacu aktiviti ekonomi, orang yang menduduki tempat itu berkurangan dan akhirnya menjadi ‘Sleeping City’,” katanya .

iskandarBeliau tidak mahu Iskandar mengulangi nasib bandar Eko Tianjing, China yang dibangunkan bersama Kerajaan Singapura dan China pada 2008 tetapi gagal selepas tujuh tahun pelancarannya.

“Pada 2014, hanya 4,000 penduduk bermastautin di bandar itu sedangkan jangkaan asal ialah 80,000 orang,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.

Justeru, Kah Eng berkata, pembinaan rumah mampu milik penting di sekeliling pusat kegiatan ekonomi untuk menggalakkan lebih orang berpendapatan sederhana menetap, seterusnya menghidupkan komuniti.

“Ia ada hubung kait rapat dengan pembangunan setempat. Sebaliknya, jika hanya ada aktiviti ekonomi dan kemasukan syarikat berdaftar sahaja tanpa kemasukan orang untuk menetap, kawasan rancangan akan menjadi ‘sleeping city’.

Beliau berkata, pembinaan rumah mampu milik atau kos sederhana/rendah perlu dibina di kawasan tumpuan seperti Educity Nusajaya, selain menyediakan hospital swasta, tapak perniagaan supaya wujud integrasi dengan pembangunan ekonomi.

“Bayangkan, Iskandar dipenuhi kediaman orang asing bertaraf tinggi dan menikmati kemewahan hidup tetapi kawasan sekitarnya tidak terurus. Justeru, perancangan bandar mesti didukung kekuatan dalaman yang merangkumi pembangunan ekonomi dan pemastautin penduduk,” katanya.

Kah Eng juga menekankan kepentingan pembaharuan infrastruktur asas sedia ada, menaik taraf prasarana awam termasuk jalan, pengumpulan sampah, pengangkutan awam dan taman rekreasi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.