shahbudindotcom
Pada
2 Disember ini, sembilan Ketua Cawangan daripada UMNO Bahagian Teluk
Kemang yang mendesak pengunduran Najib Razak daripada memimpin parti dan
kerajaan akan mengadap Lembaga Disiplin berhubung tindakan mereka itu.
Selepas itu, mereka kemungkinannya sama ada akan dipecat, digantung keahlian atau sekadar diberi amaran saja.
Tetapi
berdasarkan kepada kes Ketua Wanita UMNO Gopeng, Hamidah Osman yang
dipecat, juga disebabkan didakwa terlibat dalam aktiviti yang mahukan
pengunduran Najib, besar kemungkinan semua sembilan Ketua UMNO cawangan
itu juga akan menerima nasib yang sama.
Bagaimanapun
dalam masa yang sama, selepas sekumpulan Ketua UMNO Cawangan dalam
bahagian Teluk Kemang membuat desakan itu, beberapa Ketua Cawangan
daripada bahagian-bahagian lain turut juga membuat desakan yang sama.
Jika
dihitung berdasarkan beberapa pengakuan serta perhimpunan yang turut
dihadiri pihak media, ia sudah pun menjangkau ratusan Ketua Cawangan
jumlahnya, malah dalam pertemuan terbaru di Kinrara baru-baru ini,
kumpulan tersebut mengaku mereka mewakili kira-kira 200 Ketua Cawangan
di seluruh negara.
Persoalannya, apakah hanya Ketua UMNO Cawangan daripada Teluk Kemang saja yang dipanggil mengadap Lembaga Disiplin?
Bagaimana dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan lain dari seluruh negara yang juga membuat desakan yang sama?
Bilakah mereka mahu diberikan surat tunjuk sebab dan kemudian memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin?
Jika
jumlah Ketua Cawangan yang mendesak pengunduran Najib terus bertambah
dari semasa ke semasa, apakah pihak ibu pejabat UMNO akan terus
menggunakan pendekatan yang sama iaitu memanggil mereka memberi
penjelasan kepada Lembaga Disiplin juga?
Selain
itu, jika Ketua UMNO Cawangan yang mendesak pengunduran Najib dianggap
suatu kesalahan dan dihadapkan ke Lembaga Disiplin, bagaimana pula
dengan Tun Mahathir yang tidak berhenti-henti membuat desakan serupa
sejak lebih setahun yang lalu?
Jika
benar-benar adil dan Najib pula seorang yang berani, bukankah Tun
Mahathir yang sepatutnya paling awal dihadapkan ke Lembaga Disiplin
parti sebelum sembilan Ketua Cawangan terbabit?
Begitu
juga, jika Hamidah dipecat kerana didakwa menganjurkan program Bicara
Negarawan di Ipoh serta dilihat berada di Lapangan Terbang Subang ketika
menyambut kepulangan Tun Mahathir daripada luar negara tidak lama dulu,
bagaimana dengan ramai yang lain yang sentiasa bersama dengan bekas
Perdana Menteri itu?
Sekali lagi, mengapa Tun Mahathir yang berucap dan disambut kepulangannya tidak diberikan sebarang surat tunjuk sebab?
Sejak bila menjemput, meraikan dan menghargai bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO sendiri merupakan suatu kesalahan?
Adakah
suatu kesalahan juga mendesak pengunduran pemimpin semata-mata atas
kepercayaan ianya tindakan yang terbaik untuk menyelamatkan masa depan
parti?
Apakah
jika parti sudah berada begitu buruk di mata rakyat yang diakibatkan
oleh perlakuan tidak baik permimpinnya, maka semua pihak perlu berdiam
diri saja?
Tidakkah
dianggap keterlaluan, dalam keadaan parti lebih mungkin kalah daripada
menang dalam pilihanraya, pujian melambung masih perlu dilontarkan
kepada pemimpin yang menjadi punca masalah itu?
Ahh...hakikatnya
banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan di sebalik tindakan
mengenakan hukuman mengadap Lembaga Disiplin terhadap sembilan Ketua
UMNO Cawangan daripada Teluk Kemang serta pemecatan Hamidah Osman itu.
Berbeza
ketika Tun Mahathir memimpin parti dan kerajaan dulu di mana beliau
juga ada didesak untuk mengundurkan diri, namun semua desakan terhadap
beliau tidak sesekali menjurus kepada kebimbangan bahawa parti akan
kalah dalam pilihanraya jika terus dipimpin olehnya.
Malah, Tun Mahathir sentiasa membuktikan penguasaan dua pertiga majoriti di Parlimen tetap menjadi milik BN ketika itu
Kini,
melalui satu demi demi tindakan yang diambil Najib untuk mengekalkan
kuasanya, ia bukan saja terus mencemarkan imej UMNO di kalangan ahlinya
sendiri, bahkan kian menghakis kebolehpercayaan rakyat yang akhirnya
lebih memudahkan kehancurannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.