ADNAN MOHAMAD
Ali (dua dari kiri)
bersama peguamnya pada sidang media yang diadakan di Mahkamah Syariah
Kelantan, hari ini. - Foto TRP/ Adnan Mohamad
KOTA BHARU, Seorang ahli PAS Kuala Krai, Ali Omar, 28, bertegas tidak akan memohon maaf kepada Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.
Malah, beliau sedia berjumpa dengan wakil rakyat itu di mahkamah, bagi menjawab segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.
Ali yang menerima notis guaman
daripada peguam Dr Hatta pada 13 September lalu, diminta membuat
permohonan maaf secara terbuka di laman media sosial dan akhbar, selain
menuntut ganti rugi RM3 juta daripadanya, kerana dikatakan memfitnah Dr
Hatta berzina dengan isterinya, selepas perkahwinan beliau dan isterinya
terbubar dengan talak tiga, kerana melanggar sumpah taklik yang
dilafazkan, ketika menjadi calon PAS pada Pilihan Raya Umum lalu.
Malah, Ali mendakwa, tindakan
undang-undang yang diambil Dr Hatta itu bertujuan menutup mulut pengundi
di Parlimen Kuala Krai daripada terus mengkritik dan membicarakan
pengkhianatannya terhadap PAS dan pengundinya.
“Saya
selaku pengundi dan petugas parti di Kuala Krai mengulangi, kerusi
Parlimen Kuala Krai adalah milik PAS dan dimenangi atas dasar pengundi
inginkan PAS, bukannya atas nama Pakatan Rakyat seperti yang didakwa
beliau.
“Sebagai buktinya, mengapa
kerusi Parti Keadilan Rakyat di Machang, Ketereh dan Tanah Merah
(kawasan Parlimen yang ditandingi PKR) tewas semuanya, sedangkan di
peringkat Dewan Undangan Negeri dimenangi PAS,” katanya pada sidang
media ringkas di Mahkamah Syariah, hari ini.
Jelasnya, Dr Hatta juga sering
membangkitkan kononnya rakyat tidak mengundi PAS, sebaliknya mengundi
Pakatan Rakyat, sebagai alasan tidak mahu meletak jawatan sebagai Ahli
Parlimen Kuala Krai.
“Bersandarkan keadaan ini, maka
saya tetap mendesak agar Dr Hatta meletakkan jawatan, bagi
menyelamatkannya dengan politik bermaruah serta daripada tekanan
perasaan berhubung isu lafaz bai’ah dan taklik yang diucapkannya.
“Selain itu, isu yang
dibangkitkan dalam notis guamannya adalah isu makan elaun haram dan isu
cerai talak tiga serta desakan meletak jawatan.
“Saya ingin tegaskan bahawa isu
Akujanji atau bai’ah yang diucapkan Dr Hatta adalah satu fakta yang
sedikitpun tiada percanggahan dengan lafaz bai’ah dan sumpah yang
diucapkan beliau,” katanya yang ditemani peguam, Ismail Mohamed daripada
Tetuan Hj Ismail & Co.
Jelasnya, isu-isu yang
dibangkitkannya tidak bersifat fitnah, sebaliknya bertujuan menjaga
maruah serta keturunan Dr Hatta, supaya ia dipelihara mengikut hukum
syarak dan untuk menyelamatkannya daripada tanggungjawab serta sikap
tidak beramanah beliau di akhirat.
Sementara itu, Ali berkata,
tindakannya mempertikaikan status perkahwinan Dr Hatta yang sudah
terbiar, disebabkan melanggar lafaz taklik, berpandukan kenyataan Ketua
Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad.
“Saya menyokong penuh saranan
Ketua Hakim Syarie Kelantan, agar Dr Hatta tampil dan merujuk status
perkahwinannya ke Mahkamah Syariah, berikutan adanya lafaz cerai taklik
itu.
“Lafaz cerai taklik ini sudah
menjadi isu nasional dan diperdebatkan oleh umum. Maka, amat penting
perkara ini dibawa ke mahkamah, supaya kita mendapat satu jawapan yang
jelas,” katanya.
Menurutnya, beliau akan
menyerahkan notis 14 hari bermula hari ini, dengan meminta Dr Hatta
memfailkan tuntutan pengesahan lafaz taklik cerai itu di Mahkamah
Syariah Kelantan atau mana-mana mahkamah yang berkaitan.
Katanya, jika gagal berbuat
demikian, beliau akan membuat laporan kepada Bahagian Penguatkuasa
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, untuk menggesa tindakan diambil
di bawah kesalahan syariah atau memfailkan permohonan untuk pengesahan
sabitan terhadap isu bai’ah dan sumpah cerai taklik itu di Mahkamah
Syariah Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.