Khamis, 29 Oktober 2015

Sampai ada yang lepas 'hajat' dalam longkang

Sampai ada yang lepas 'hajat' dalam longkang
Keadaan tandas awam di Medan Selera Puchong Indah.


PUCHONG - Jijik dan memualkan! Begitu keadaan tandas awam di Medan Selera Puchong Indah di sini, yang didakwa tidak diselenggara syarikat dilantik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak beberapa bulan lalu.

Bukan sahaja air bertakung di atas lantai yang kotor, siling menempatkan tangki air juga berlubang dan mengalami kebocoran.

Pengunjung lelaki medan selera terbabit dikatakan tidak mempunyai pilihan selain terpaksa berebut menggunakan satu-satunya tandas wanita terletak bersebelahan sekiranya ingin menunaikan ‘hajat’ masing-masing.

Sinar Harian difahamkan, ada pengunjung yang terpaksa membuang air besar di dalam longkang bersebelahan tandas kerana tidak tahan dan tidak sanggup berebut menggunakan tandas wanita.

Pengerusi Panel Klinik Kesihatan negeri Selangor, Dr Kannan Raman berkata, beliau terkejut mendapati keadaan tandas tersebut ketika melaksanakan kempen pencegahan demam kepialu kepada pengusaha gerai makanan baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat 20 gerai makanan beroperasi di medan selera tersebut. Hampir 700 pelanggan dianggar berkunjung ke premis makanan itu setiap hari.

Kannan berkata, beliau musykil mengapa hanya sebuah tandas disediakan dan apabila rosak, pengunjung terpaksa berjalan kaki ke stesen minyak atau menumpang restoran lain untuk membuang air.

“Keadaan tandas ni teruk sekali, tak boleh masuk ke dalam kerana air bertakung..., siling pun ada air menitis dari bumbung yang bocor. Masalahnya di luar tandas ada tunjuk papan tanda syarikat yang menyelenggara tapi keadaan tandas sungguh mengecewakan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.