Khamis, 29 Oktober 2015

Rahman Dahlan gesa Dr Mahathir bersara dengan bermaruah




Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi saranan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir supaya bersara daripada politik dan tidak mencampuri pentadbiran kerajaan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2015.Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi saranan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir supaya bersara daripada politik dan tidak mencampuri pentadbiran kerajaan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad harus bersara daripada dunia politik, sekali gus tidak mencampuri pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyarankan hari ini. 
 
Bagaimanapun, pengarah komunikasi strategik BN itu berkata, hasratnya menyarankan bekas perdana menteri itu untuk bersara amat sukar direalisasikan memandangkan ia bercanggah dengan kehendak rakyat Malaysia.

Beliau berpendapat, setiap bekas perdana menteri di negara ini harus bersara dengan bermaruah.

"Saya memang berharap, tetapi sudah tentu ia hanyalah angan-angan. "Bagaimanapun budaya kita sepatutnya, bekas perdana menteri harus bersara dengan cara bermaruah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Dr Mahathir merupakan antara pengkritik yang paling lantang menuntut peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak dan tindakan beliau itu dikecam sebilangan menteri Umno.

Terdahulu hari ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mencabar pemimpin veteran Umno itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan, yang diwakili Najib, sebagai cara untuk menjatuhkan perdana menteri.

Pada masa yang sama, Rahman mendakwa Dr Mahathir juga terkecuali daripada berdepan tindakan disiplin Umno.

"Kalau beliau masih lagi anggota Umno, sudah tentu tertakluk dengan peraturan sama seperti anggota Umno lain," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.