Seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala seorang lagi selamat selepas tertimbus tanah semasa melakukan kerja menaik taraf jalan di persimpangan Jalan Ampang, Jalan Jelatek di ibunegara semalam.
Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, mangsa lelaki berusia awal 30-an bersama seorang rakannya sedang melakukan kerja pemasangan paip bawah tanah di dalam lubang sedalam tiga meter.
"Secara tiba-tiba berlaku runtuhan yang menyebabkan kedua-dua mangsa tertimbus.
"Dua jentera dari Balai Bomba Jelatek dan Wangsa Maju dengan kekuatan 12 anggota dikerah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.49 pagi.
"Bomba mengambil masa hampir dua jam menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan cangkul...rakan mangsa yang turut tertimbus berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi semalam.
Samsol berkata pada mulanya, bomba mahu menggunakan jentolak untuk mengeluarkan mangsa tetapi memutuskan menggunakan cangkul kerana khuatir ia boleh mendatangkan kecederaan pada tubuh mangsa.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.