Rabu, 28 Oktober 2015

P’bangkang saran bayar balik PTPTN ikut pendapatan

Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari


KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran agar melaksanakan sistem pembayaran balik pinjaman mengikut kadar pendapatan peminjam.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, graduan yang berpendapatan rendah tidak patut membayar pinjaman pada kadar sama dengan peminjam lain yang berpendapatan lebih tinggi.

"Mungkin pada masa yang sama, boleh diletakkan tahap jika pendapatan bawah RM1,800 hingga RM2,000 dikecualikan bayaran balik sehingga pendapatan mereka meningkat melebihi batas tersebut," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, Pakatan Harapan juga mencadangkan agar graduan-graduan yang baru mula bekerja diberikan tempoh tertentu sebelum pembayaran balik bermula.

"Kami juga nak cadangkan supaya graduan-graduan yang baru mula bekerja diberi ruang mungkin dalam enam bulan atau lapan bulan sehingga mereka stabil. Kita baru mula kerja, kena pindah, bayar sewa rumah dan mungkin ketika itu kena letak 'downpayment' kereta.

"Jadi, memang agak sukar untuk graduan-graduan khususnya yang baru tamat pengajian ini untuk membayar balik PTPTN," katanya.

Selain itu, beliau turut memberi pendapat agar PTPTN bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menjamin pembayaran balik yang lebih efektif dan efisyen.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.