KUALA LUMPUR - "Sukan bola sepak amat popular dan begitu penting pada orang Melayu... Sehinggalah Malaysia kalah 10-0 baru-baru ini," seloroh Pakar Sejarah, Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan mengenai sejarah dan peradaban Melayu dalam Forum Mempertahankan Maruah Melayu, di sini, malam tadi.
"British mewujudkan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) pada tahun 1922. Pada masa itu mereka miliki padang paling luas di Semenanjung tahah air. Ia digunakan untuk anak-anak Melayu bermain bola sepak.
"Sukan itu begitu penting pada orang Melayu... Orang Melayu begitu gilakan bola sepak.. Sehinggalah kita kalah baru-baru ini. Orang tanya saya, siapa yang salah? Saya jawab: Kitalah yang salah. Padang-padang kita ada, kenapa tak diguna?" kata- katanya disambut ketawa hadirin.
Beliau dalam pada itu menceritakan sejarah perkenalan sukan bola sepak di negara ini.
"Sebelum British datang ke Tanah Melayu, mereka sudah menguasai India dan banyak kekacauan timbul di sana. Pihak British tidak mahu kita (orang Melayu) jadi seperti masyarakat di India, jadi mereka buat persiapan untuk memastikan struktur orang Melayu tidak berubah dan di samping itu, arus pemodenan tidak harus ditinggalkan.
"British juga menggalakkan orang Melayu mengamalkan budaya mereka yang lemah lembut. Sebab itu mereka perkenalkan sukan seperti bola sepak kepada orang Melayu," katanya.
Menurutnya, pada 1909, sudah ditubuhkan Malayan Football Association di Singapura.
"Persatuan ini hanya terbuka kepada kelab bola sepak Melayu.
"Pada masa itu, sudah lebih 50 kelab bola sepak Melayu ditubuhkan dan dalam masa dua tahun, persatuan itu sudah melahirkan ramai pemain bola sepak Melayu, Begitulah pentingnya sukan itu kepada kita," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.