Rabu, 28 Oktober 2015

Mengapa Abdul Aziz Bari sertai DAP

MSO


Lama saya tidak berjumpa dengan bekas pensyarah Kuliyah Undang-undang UIAM, Dr Abdul Aziz Bari untuk berbincang dan berbual fasal politik. Kali terakhir saya bersamanya dalam sebuah forum di Kuala Lumpur di mana kami menjadi ahli pena.

Sembang dengan Aziz Bari turut diselit Zulqarnain. 
Kalau tidak silap isu yang dibicarakan malam itu mengenai Hudud di Kelantan. Selepas itu kami tidak berjumpa di mana-mana. Saya pula tidak turun ke majlis-majlis yang menampilkannya. Dalam forum itu saya memberi jaminan kepada mereka yang alergik dengan hudud supaya jangan bimbang kerana ia tidak akan dilaksanakan.

Apabila beliau menyertai DAP, hampir serentak dengan penyertaan Pak Samad (A Samad Said), teringin juga saya menemuinya untuk bertanya sebab dan musababnya. Aziz bukan boleh bercakap dengan telefon sebab beliau seorang yang tidak mesra telefon. Beliau berhubung dengan sesiapa sahaja menerusi e-mail sahaja.

Kemisterian masih belum terjawab kenapa pakar perlembagaan ini tidak gemar kepada telefon.Hal-hal yang perlu segera atau urgent dengannya boleh hubungi di nombor isterinya. Pun begitu Aziz seorang yang cepat memberi respon menerusi emailnya. Tidak ada masalah. Bahkan kalau interview rengkas dengannya boleh sahaja menerusi email.

Kebetulan apabila kelmarin dahulu beliau mengemailkan saya untuk berjumpa, ia bagaikan orang mengantuk diletakkan bantal atau si dahaga di hulurkan "orange". Jangan salah faham bila saya tulis orange, saya seorang yang payah untuk mempercayai kepada politik warna ini. Jadi cepat-cepat saya sambut pelawaanya dan kami berjumpa di sebuah cafe di Seri Gombak.

Pertemuan cukup lumayan kerana lebih tiga jam. Pertemuan itu menjadi ralik lagi apabila dihampir separuh perbicaraan ia diselit dengan kemunculan Yaakub Safari Adun Anggerik dan sdr Zulqarnain Lukman, seorang peguam muda daripada Amanah.

Berbicara dan mengawani Aziz walaupun beliau seorang dianggap pakar perlembagaan negara, seorang Profesor tetapi menyenangkan. Dia seorang yang selamba dan tidak ada protokol. Dirinya sangat rengkas. Saya memerhatikan ini sejak pertama kali menemuinya ketika beliau masih berkhidmat di UIAM pada tahun 2006. Saya berjumpa untuk menemuramahnya berhubung beberapa perkara semasa bagi dimuatkan dalam arwah akhbar saya, Siasah. Bermula disitu saya mengenal dan berkawan dan berkonsultasi dengan Aziz.

Dia seorang yang berterus terang dan bercakap menggunakan fakta. Dia tidak berhujah secar kering jauh menggunakan keng. Kerana sifat terus terang dan berfakta inilah sesetengah orang kurang senang dengannya. Aziz juga out spoken. Apa yang diucapkan dari hatinya berdasasarkan fakta. Apa yang dikatakan diperhatikan dan dialami sendiri.

Orang-orang parti agama (Pas) yang kuat agama kurang senang dengannya. Kritikan terbuka Aziz kepada sikap dan pembawaan pemimpin Pas yang dikira merugi atau menjejaskan perfomance parti itu menyebabkan beliau tidak disenanginya. Beliau pernah di serang dalam sebuah forum yang diadakan di Taman Melawar dianjurkan oleh parti itu. Tetapi serangan itu tidak mengajakkan Aziz sebab dia bercakap atau mengatakan berdasarkan kepada fakta dan prinsip.

Sebenarnya bukan sahaja dengan Pas, tetapi dengan pihak-pihak lain juga. Institusi raja yang dianggap institusi tertinggi dan mulia yang tidak boleh atau berani dikritik,  pun dikirik oleh Aziz mengikut lurah pemikiran dan ilmu yang ada kepadanya. Gara-gara dia menyentuh kedudukan Raja dari segi perlembagaan yang benar itulah dia bermasalah di UIAM akhirnya terkeluar dari pusat pengajian itu. Tindakan UIAM ke atasnya bukan berdasarkan semangat universiti itu tetapi kerana sebab lain diluar perkara yang patut diambil kira.

Saya yakin Aziz tidak kesal atas apa yang berlaku sebab dia berpegang kepada prinsip, dan SOP kehidupnya sendiri. Dia bukan akademis munafik. Justeru apabila dia memilih untuk aktif dalam politik PKR dan bertanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam saya kira dia membuat keputusan itu dengan intelektualnya bukan emosi.

Saya ada melarang (sebenarnya lebih mengingatkan) beliau tentang rencah dan asam garam dalam politik. Dunia politik yang rencam dan penuh dengan kemabukan tidak sesuai bagi golongan akademis sepertinya yang tidak munafik, bercakap, berhujah dan hidup dengan fakta-fakta rasionalis. Sebagai akademis beliau lebih baik tegak berdiri dengan profesyennya itu. Perkara ini juga pernah saya anjurkan kepada Mufti Perlis kini, Dr. Mohd Asri Zainul Abdin (Maza) semasa beliau "berkelana" sekejap agar terus kekal sebagai pendakwah bebas kerana cara itu akan lebih dihormati.

Bagaimana pun ingatan dan pandangan saya itu tidak mudah diikuti oleh Aziz. Mungkin keadaan meletakkan dia pada saat itu perlu untuk menerjunkan diri dalam politik. Kononnya dengan menjadi ahli Parlimen beliau lebih berpeluang memberi sumbangan pemikiran kepada parti dan kerajaan yang dikhayalkan oleh banyak orang yang Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan Malaysia.

Dengan kepakaran yang beliau miliki saya percaya kalau beliau memenangi kerusi Sabak Bernam dan kebetulan pula Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan beliau akan menjadi salah seorang penting dalam kerajaan kalaupun tidak sampai dilantik menjadi menteri.

Kekalahan dalam pilihan raya dan peluang untuk Aziz mengenali politik dari dekat dan dari dalam serta ikut sama bermain dengan pelbagai kerenahnya, mengenalkan Aziz apa itu politik. Politik bukan sesenang kita mengulas dan memberi pandangan apabila ditanya wartawan atau kawan-kawan berhubung sesuatu isu atau pergolakan. Politik perlu memiliki kepintaran termasuk yang tidak munasabah dan bertentangan dengan naluri dan jiwa asal kita. Dalam politik kita bukan saja perlu melawan arus dengan tabiat kita tetapi melawan prinsip diri. Sebab itu saya tidak berada dalam kancah politik.

Pengalaman itu memberi pengajaran kepadanya dan mengenalkannya dengan politik. Aziz mengenali warna dan bau politik parti yang disertainya. Hati budi politik parti itu dihayati dengan baik. Dalam percakapan malam kelmarin apa yang dapat saya tangkap kenapa beliau menyertai DAP ialah kerana kecewa dengan parti yang disertai sebelum ini. Dia seakan terperangkap dan tertipu oleh bayangan yang diciptanya sendiri. Menurutnya dua kali dia melalui lorong pahit sepanjang berada dalam parti itu, petama ketika bertanding dalam pilihan raya, kedua semasa parti itu mengadakan proses pemilihan.

Aziz tidak menyebut apa dan kenapa, tetapi saya dapat memahaminya apabila dia memilih DAP sebagai penyambung kerjaya barunya itu. Dalam pengamatannya, DAP sebuah parti yang profesional dan berintegriti. Sifat itulah yang menariknya untuk bersama DAP. Misal katanya dalam DAP tidak ada batas atau pun pemisahan kedudukan dan pangkat. Dalam DAP semua orang dipanggil "saudara" tidak ada Tan Sri, Datuk ataupun kedudukan dalam parti itu dipisahkan oleh darjat dan pangkat. Semua orang dalam parti itu berkedudukan sama rata, hanya jawatan yang membezakan mereka.

Perkara lain yang menarik hatinya ialah DAP sebuah parti yang kuat berpegang kepada disiplin, di mana kekuatan itu menjadikan parti itu berjaya dan diyakini umum. Saya bersetuju dengan padangan Aziz itu bahawa DAP kini memiliki segala kelebihan berbanding parti lain, cuma yang sedikit masalahnya kata saya, ia Cina. Apakah ada masalah dengan Cina?

Selain bercakap mengenai dirinya malam itu, kami juga bercakap mengenai parti Pas dan Amanah. Menurut Aziz daripada kaji selidik rakan-rakannya Pas sudah ditolak oleh pengundi Cina. Penolakan ini ialah kerana pembawaan sesetengah pemimpin Pas yang tidak mencerminkan sikap keterbukaan dan resional dalam politik ala Malayisa. Kata Aziz, kenapa DAP menjauhi Pas kemudian berpisah adalah bertolak daripada situasi itu.

Bagaimana Aziz percaya Pas boleh survive di negeri-negeri pantai Timur tetapi tidak lagi untuk di negeri pantai Barat. Di Selangor kalau mengikut perkiraanya, Pas akan bungkus. Hujah beliau sama seperti diperkatakan pemerhati politik, kekuataan atau kemenangan Pas di Selangor adalah disebabkan undi Cina. Apabila Cina sudah menarik sokongan maka Pas tidak ada upaya untuk menang. Saya ingin tambah Pas boleh menang sekiranya undi Cina yang lari itu diganti dengan undi Melayu Umno.

Tentang Amanah pula Aziz berpendapat kewujudan parti itu hanya untuk memunggut undi orang Cina yang dahulu diberikan kepada Pas. Dalam kata lain kehadiran Amanah adalah untuk memastikan undi Cina tidak akan terlepas kepada parti lain, dan terus kekal kepada Pakatan Harapan.

Pandangan Aziz ini hampir sama dengan pandangan Prof Mohammad Redhuan Othman, dari UM yang berpendapat Amanah perlu memberi tumpuan kepada pengundi bandar kerana potensinya ada di situ. Dalam kata lain Amanah sukar untuk mendapat sokongan pengundi konservetif di kawasan luar bandar, Melayu ortodok.

Mengenai PKR pula Aziz berkata parti itu sedang berhadapan dengan risiko akan juga ditolak oleh Cina akibat sikap flip-flopnya dan pernyataan pro kepada Pas. Tanpa memberi saranan Aziz kurang bersetuju dengan sikap tidak tegas PKR dalam melayani Pas. Walaupun PKR khasnya Mohamed Azmin Ali memerlukan sokongan Pas bagi mestabilkan kerajaan Selangor tetapi permainan play safe PKR itu membahayakan dirinya.

Dalam analisanya undi Cina sangat penting untuk survive Pakatan Harapan dan membawa kemenangannya, Berpandukan kepada apa yang berlaku di Sabak Bernam kekalahan beliau lalu kerana hanya 12% sahaja undi Cina disitu berbanding dengan undi Cina di Pandan dan di Batu Pahat 40% dimana membawa kemenangan kepada Rafizi Ramli dan Idris Jausi.

Ertinya mana-mana kawasan yang undi Cina agak tinggi, sukar untuk Pas menang disitu kerana undi Cina akan berpindah. Dalam situasi inilah Amanah hadir untuk menyalamatkan undi Cina. Jadi ada kuliyanya Amanah yang beriya mahu Pas bersama mereka kerana bagi menyelamatkan undi Cina.

Aziz sependapat dengan pandangan banyak pihak yang Pas berhasrat untuk bergabung dengan Umno. Proses ke arah itu sedang dirintis. Kalau ini berlaku baginya ada kemungkian Pas akan tertipu dengan Umno dikedua-dua negeri, Terengganu dan Kelantan. Kerjasama Pas dengan Umno dikedua-dua negeri itu juga memberi kesan kepada calon Pas di negeri lain yang akan ditolak oleh Cina. Natijah daripada itu menyebabkan semua calon Pas di negeri-negeri luar Kelantan dan Terengganu, khasnya di kawasan yang peratus pengundinya Cina agak banyak, akan kalah.

Hal ini juga akan turut berlaku kepada PKR sekiranya mereka tidak mengambil sikap tegas menentukan hubungan mereka dengan Pas. Orang-orang Cina dan pengundi yang cerdik sedang memerhati permainan dalam selimut di antara Pas dengan PKR pada waktu ini.

Menutup perbicaraan malam itu Aziz bertanya mengenai Najib Razak yang sedang dikeronyok oleh Dr. Mahathir sekarang ini. Saya hanya menjawab Najib tetap bertahan hingga menjelang pilihan raya dan undi tidak percaya yang akan dikemukakan di parlimen tidak memberi apa-apa bekas kepadanya. Sebagai seorang yang tidak ada air muka dan maruah Najib akan terus berlalu begitu sahaja bagaikan burung bayam yang dicabut bulu belakangnya tetapi ia tetap juga terbang dalam keadaan "dogel".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.