KANGAR: Kerajaan Malaysia akan terus membantu Indonesia untuk memadam
api kebakaran di negara itu bagi membantu mengatasi masalah jerebu yang
melanda rantau ini termasuk Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
berkata, kerajaan kini menunggu kelulusan daripada Wisma Putra dan pihak
tentera untuk penghantaran kapal terbang penyembur air bagi kerja-kerja
memadam kebakaran berkenaan.
Penghantaran kali ini akan melibatkan dua kapal terbang penyembur air
ke sana, kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Maqasid
Syariah Peringkat Kebangsaan di Dewan Warisan di sini, Selasa.
Menurut Shahidan, tempoh penghantaran kapal terbang penyembur air ke
Indonesia akan mengambil kira perkembangan semasa apabila berlaku
perubahan cuaca yang membawa hujan lebat.
Mengenai kedatangan musim hujan, beliau berkata persiapan sudah
dilakukan untuk menggerakkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir
terutama di negeri-negeri pantai timur dan sebahagian Sarawak.
Menurut beliau, skreateriat bantuan berkenaan dipindahkan daripada
Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
(JPAM) namun MKN akan terus membantu mana-mana negeri yang lebih
terdedah dengan malapetaka banjir.
Semasa berucap merasmikan seminar berkenaan, Shahidan berkata kerajaan
juga akan memberi penekanan menyedarkan mangsa-mangsa banjir jangan lupa
tanggungjawab mereka kepada agama walaupun ditimpa musibah.
Sementara itu Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin
memberitahu seminar dua hari itu melibatkan 350 peserta dari seluruh
negara dengan pembentangan enam kertas kerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.