Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menangguhkan prosiding saman yang difailkan Anina Saadudin berhubung isu RM2.6 bilion.
Mahkamah membenarkan penangguhan itu sementara menunggu selesai permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh bekas ahli Umno itu.
Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata alasan bagi membenarkan permohonan itu ialah 'keadaan khas' yang mewajarkan penangguhan itu.
Salah satu daripada alasannya adalah tanpa memberi penangguhan itu, akan menjejaskan permohonan untuk membatalkan saman tersebut, kata Hafarizam kepada wartawan.
Mengenai apakah alasan permohonan untuk membatalkan saman itu, beliau berkata, plaintif tidak mempunyai locus standi kerana dia bukan lagi ahli Umno dan juga tidak pemegang jawatan dan bukan seorang pegawai awam.
Oleh itu, katanya, saman itu yang didakwa Anina dibuat bagi pihak Umno itu, kurang kewajaran di mahkamah.
"Sebarang perkara yang berkaitan dengan keputusan dan hal ehwal parti-parti politik, mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan, tidak boleh dicabar di mahkamah," katanya.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan penangguhan itu di dalam kamar hari ini.
Ditanya apakah pembelaan mereka sekiranya Najib diminta berbuat demikian, Hafarizam berkata: "Ia adalah spekulatif. (Tetapi) satu-satunya pembelaannya ialah mencabar locus standi saman ini".
Ketika ditemui pemberita kemudian, Anina berkata beliau menghormati keputusan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan Najib itu.
"(Kita akan) beralih kepada apa yang akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.