KLANG: Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa semua ubat-ubatan
dan vaksin yang diberikan kepada pesakit di negara ini adalah halal
serta selamat digunakan, lapor Bernama.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata alasan
sesetengah ibu bapa memilih menolak vaksin untuk anak mereka berdasarkan
dakwaan bahawa suntikan yang diberi haram dan mengandungi
Deoxyribonucleic Acid' (DNA) babi, adalah tidak berasas.
"Pihak kementerian tidak mewajibkan pemberian vaksin tetapi kami
menggalakkan ibu bapa memberi vaksin ini kepada anak mereka kerana ia
telah terbukti berjaya mengurangkan kadar kematian bayi," katanya dalam
sidang berita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Hospital
Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hari Penyelidikan Selangor di sini,
Khamis.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Selangor Dr S. Balachandran dan Pengarah HTAR Dr Ding Lay Ming.
Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
gerakan antivaksin yang semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa
muda di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya sebelum ini
dilaporkan berkata berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan daripada
data klinik kesihatan, bilangan kes ibu bapa menolak pemberian vaksin
untuk bayi mereka telah meningkat daripada 470 kes pada 2013 kepada
1,292 kes (2014) dan 1,054 kes sehingga Mei lepas.
Dr Hilmi berkata kejadian penyakit cegahan vaksin dalam negara
menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga hingga lima tahun lepas di
mana bilangan kes penyakit campak meningkat daripada 235 kes pada 2014
kepada 539 kes sehingga September lepas, manakala penyakit batuk kokol
bertambah dari 497 kes pada 2014 kepada 655 kes tahun ini.
Sementara itu, mengulas mengenai kes demam kepialu, Dr Noor Hisham
berkata sejak Ogos lepas sehingga hari ini, sebanyak 59 kes telah
direkodkan.
Justeru itu, beliau menasihatkan pengendali makanan supaya
menitikberatkan kebersihan ketika menyediakan makanan, selain
menyarankan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan hanya memilih
kedai makanan yang bersih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.