SINGAPURA - Keadaan jerebu di Singapura semakin merosot dan boleh mencapai tahap sangat tidak sihat tertinggi dalam tempoh 24 jam jika jerebu lebih padat ditiup ke situ, kata Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA).
Menurutnya, indeks standard pencemaran (PSI) 24 jam dijangka berada antara tahap tidak sihat dan tidak sihat pertengahan, dan mungkin merosot kepada sangat tidak sihat tertinggi jika jerebu lebih padat sampai ke negara itu.
Hari ini, Singapura terus dilanda jerebu yang ditiup angin tenggara ke negara itu.
Sehingga jam 7 malam tadi, bacaan PSI 24 jam adalah 154-197 iaitu tahap tidak sihat manakala bacaan PSI tiga jam pula berada pada 167.
Menurut NEA, jerebu dari Sumatra dan Kalimantan masih merebak ke sebahagian besar rantau ini.
NEA turut menasihatkan mereka yang masih sihat untuk mengelakkan aktiviti berat dan berpanjangan di luar, manakala orang tua, wanita mengandung dan kanak-kanak perlu mengurangkan kegiatan luar rumah.
Mereka yang mempunyai penyakit paru-paru kronik dan jantung juga dinasihatkan mengelakkan daripada aktiviti luar, manakala mereka yang berasa kurang sihat terutama orang tua dan kanak-kanak, serta mempunyai masalah jantung dan paru-paru yang kronik, perlu mendapatkan rawatan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.