Oleh Nadia Hanafi
KUALA LUMPUR: Kartunis politik Malaysia, Zulkiflee Anwar Al-Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar menerima anugerah Kebebasan Media Antarabangsa 2015 dari Committee to Protect Journalists (CPJ).
Menurut CPJ yang berpangkalan di New York, Amerika, Zunar merupakan kartunis sepenuh masa yang pertama menerima anugerah ini.
“Walaupun serangan ke atas kakitangan Charlie Hebdo di Paris pada Januari 2015 menunjukkan risiko beberapa kartunis menghadapi tindak balas terhadap kerja mereka, namun gangguan undang-undang yang dikenakan terhadap Zunar adalah satu bentuk ancaman satira di seluruh dunia.
“CPJ menekankan ancaman ini dalam laporan 2015 ‘drawing line’, di mana kartun Zunar dan kesnya telah dipaparkan,” kata CPJ dalam kenyataan yang dikeluarkan laman web rasminya.
Selain itu, sekurang-kurangnya lima buku kartun beliau, kompilasi kandungan asal dan kerja-kerja yang sebelum ini diterbitkan dalam talian, telah diharamkan atau dirampas oleh pihak berkuasa.
CPJ adalah sebuah pertubuhan yang menggalakkan kebebasan akhbar di seluruh dunia dengan ibu pejabatnya di New York dan penerima dijangka menghadiri majlis makan malam anjuran CPJ pada 24 November ini di New York bagi menerima anugerah tersebut.
Ogos lalu, Zunar diumumkan sebagai penerima anugerah Hellman Hammett daripada badan hak asasi Human Right Watch bagi kali kedua.
Zunar merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang memperolehi anugerah tersebut selepas menerima anugerah yang sama pada 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.