Ahad, 27 September 2015

Wan Azizah: Pembangkang tiada RM2.6b singkir Najib

Susan Loone


  


Pembangkang tidak mempunyai RM2.6 bilion 'wang derma' untuk mendapatkan MP BN menyeberang dengan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berseloroh di Seberang Jaya dan berkata "pihaknya juga tidak mempunyai niat untuk membeli mereka".

"Jika kita mempunyai kuasa terhadap RM2.6 bilion, ia mungkin membantu kita, sebab itulah cara ia (berfungsi)," katanya sambil senyum sinis kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan PKR cabang Permatang Pauh pagi ini.

Azizah berkata demikian ekoran Najib yang kini berdepan tekanan besar mengenai isu sumbangan RM2.6 bilion yang didakwa diterima dari penderma negara Arab tanpa dinyatakan namanya.

Wang tersebut dilaporkan disimpan dalam akaun beberapa bank peribadinya sebelum pilihan raya umum 2013 dan Najib menegaskan wang itu tidak digunakan untuk kepentingan peribadi.

Najib turut berdepan dengan kritikan antarabangsa dalam menguruskan firma pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wan Azizah ditanya bila pembangkang akan membentangkan undi tidak percaya bagi menyingkirkan Najib kerana kebanyakan MP pembangkang menyatakan sokongan terhadap langkah itu.

Dr Wan Azizah yang juga ADUN Kajang berkata pembangkang sedang berbincang cara terbaik untuk melakukannya, termasuk "melakukannya di luar Parlimen".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.