SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menggesa wakil
partinya yang menang dalam pilihan raya umum lalu agar meletakkan
jawatan selepas mereka secara rasminya mengumumkan menyertai Parti
Amanah Negara.
Beliau berkata, perkara ini perlu dilakukan berdasarkan baiah yang ditandatangani oleh bekas ahli parti itu.
"Mana-mana ahli PAS yang memenangi kerusi Dewan Negeri dan Dewan Rakyat
atas tiket PAS tetapi menyertai parti lain, mereka perlu meletakkan
jawatan sebagai berdasarkan baiah yang ditandatangani oleh mereka.
"Baiah ialah satu dokumen 'Akujanji' oleh ahli yang bakal menjadi calon
wakil rakyat mewakili PAS supaya setia dengan parti," katanya dipetik
Sinar Harian.
Ujar Takiyuddin, walaupun dari segi undang-undang mereka masih sah
menjadi wakil rakyat di kawasan masing-masing namun menurut beliau,
mereka perlu meletakkan jawatan kerana telah menandatangani baiah
tersebut.
"Mereka masih lagi sah menjadi wakil rakyat. Tetapi, sekiranya mereka bermoral, mereka perlu meletakkan jawatan.
"Sekiranya tidak meletakkan jawatan, mereka mengakui bahawa elaun yang
mereka ambil ini adalah haram. Itu adalah dari segi agama dan mereka
perlu mempertimbangkan perkara tersebut," katanya sambil menambah, tiada
tindakan tatatertib akan diambil kepada mana-mana ahli parti yang
keluar daripada parti untuk menyertai parti Islam baharu itu.
Beliau berkata, ia berdasarkan Fasal 15 Perlembagaan PAS iaitu
keberhentian ahli adalah disebabkan oleh tiga perkara iaitu atas
permintaan sendiri, dipecat dan mengisytiharkan diri keluar PAS atau
menyertai parti politik lain.
"Jadi, sekiranya mana-mana ahli parti yang menyertai Parti Pekerja
Malaysia (Parti Amanah Negara), maka secara automatik, mereka bukan lagi
ahli PAS," katanya.
Keahlian tujuh Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
PAS tergugur secara automatik selepas mereka secara rasmi diisytiharkan
sebagai pimpinan Parti Amanah Negara, parti baru yang ditubuhkan oleh
Gerakan Harapan Baru (GHB), semalam.
Kesemua dua belas wakil rakyat berkenaan adalah Datuk Dr Mujahid Yusof
(Parlimen Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud ( Parlimen Kota Raja), Dr
Hatta Ramli (Parlimen Kuala Krai), Khalid Samad ( Parlimen Shah Alam),
Hanipa Maidin ( Parlimen Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu)
dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.