Rabu, 30 September 2015

Undi tidak percaya terhadap Najib tindakan demokratik – Tun M

 
Usul undi tidak percaya tidak pernah berlaku terhadap mana-mana Perdana Menteri sebelum ini tetapi perlu dilakukan kerana Najib Tun Razak tidak lagi mendapat sokongan ahli parlimen.



najib-mahathir


PETALING JAYA: Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan seseorang Perdana Menteri perlu meletakkan jawatannya jika beliau tidak lagi mendapat sokongan ahli parlimen.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, tindakan untuk mengadakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak sememangnya satu tindakan yang demokratik.

Dr. Mahathir berkata demikian bagi membidas kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menyatakan Aturan Mesyuarat Parlimen tidak membenarkan langkah sedemikian diambil sekaligus tidak akan membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan di Parlimen.

“Jadi, adakah Speaker cuba untuk mengetepikan Perlembagaan?” soal Dr Mahathir.

Menulis di blognya, Dr Mahathir turut mengakui bahawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak pernah berlaku terhadap mana-mana Perdana Menteri di Malaysia sebelum ini.

Keadaan itu sama juga apabila tiada seorang pun Perdana Menteri di negara ini pernah menerima wang derma sebanyak RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi selain terlibat dalam skandal kewangan dan dakwaan pembunuhan.

“Tetapi Najib terlibat dalam semua ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Malaysia kini dalam pemerhatian pihak antarabangsa, yang mana media asing dan warga luar sering bertanya mengenai apa yang sedang berlaku kepada negara ini.

“Kita rasa malu tetapi kita tak mampu berbuat apa-apa mengenainya. Orang yang mampu berbuat sesuatu langsung tidak ada rasa malu. Mereka secara terbuka mengaku menerima wang berjuta-juta daripada Perdana Menteri. Ini rasuah yang paling teruk.

“Mereka menyokong Perdana Menteri kerana beliau memberi mereka wang, wang yang beliau tidak dapat jelaskan dengan sebarang kredibiliti yang ia diperoleh secara sah,” jelasnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.