BERNAMA
Ahmad Zahid (tengah)
menegaskan, demonstrasi jalanan bukanlah budaya Malaysia dan ia tidak
seharusnya diamalkan di negara ini. - Foto Bernama
SERIAN, Rakyat diminta tidak lagi menggunakan demonstrasi jalanan untuk menyuarakan pandangan, sebaliknya mereka digesa menggunakan pelbagai forum lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi berkata, demonstrasi jalanan bukanlah budaya Malaysia
dan ia tidak seharusnya diamalkan di negara ini.
“Sudah sudahlah, saya tidak mahu lagi ada
demonstrasi baju kuning atau baju merah lagi selepas ini…banyak forum
lain untuk pihak yang tidak puas hati meluahkan pandangan, selain
daripada keluar ke jalanan unuk mengadakan demonstrasi.
“Malaysia ialah sebuah negara demokratik
dan kita ada pilihan raya untuk memilih kerajaan dan pemimpin, bukannya
dengan cara berdemonstrasi di jalanan,” katanya pada Majlis Pemimpin
Bersama Rakyat, di Kampung Terbat Teban, Tebakang, hari ini.
Sambil
menegaskan beliau amat tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana pihak
mengadakan demonstrasi jalanan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam
Negeri berkata, rakyat perlu menghormati undang-undang di negara ini.
Beliau berkata, pemimpin negara datang
dan pergi, tetapi rakyat perlu menghormati sistem demokrasi Malaysia dan
pemimpin yang dipilih menerusi proses itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata,
pemimpin yang dipilih perlu turun padang membantu rakyat, bukannya hanya
muncul apabila menjelang pilihan raya.
Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional
(BN) sememangnya serius dalam usahanya membangunkan rakyat, terutama
mereka di luar bandar.
“Saya berasal dari kampung dan saya amat
memahami masalah dan keperluan penduduk di luar bandar, terutama
keperluan kesihatan dan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya
berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah parti pembangkang
yang disiarkan di laman media sosial.
Menurutnya, permainan politik pembangkang
hanyalah untuk memecahbelahkan rakyat dan jika ia berlaku, rakyat perlu
membayar ‘harga’ terlalu mahal untuk mengatasinya.
Sementara itu, Ahmad Zahid meminta rakyat
mengetepikan perbezaan kaum, budaya dan agama demi memelihara keamanan
negara dan keharmonian kaum.
“Kita harus bersama-sama menganggap tanah
Malaysia ini sebagai negara kita bersama. Rakyat Sabah, Sarawak dan
Semenanjung Malaysia wajar bersatu hati, walaupun berbeza kaum dan
agama…kita harus ada semangat untuk bersama-sama membangunkan negara
kita,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan
peruntukan RM300,000 untuk kawasan Parlimen Serian, termasuk kos membaik
pulih Balai Raya Kampung Terbat Leban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.