SHAH ALAM - Nilai ringgit akan kembali pulih sekiranya isu kejatuhan harga minyak dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat diselesaikan serentak.
Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, jika salah satunya selesai, ia belum dapat menyelesaikan masalah kejatuhan ringgit.
“Walaupun 1MDB dapat diselesaikan, itu belum bermakna ringgit akan pulih kerana ia turut bergantung kepada situasi kejatuhan minyak dunia.
“Begitu juga sebaliknya. Saya berpendapat kedua-duanya perlu diselesaikan serentak,” katanya, semalam.
Menurutnya, isu 1MDB hanya mempengaruhi keyakinan pelabur asing yang ingin datang melabur di negara ini walaupun harga minyak kembali meningkat.
Beliau mengulas kenyataan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang yakin ringgit akan naik semula sekiranya isu 1MDB dapat diselesaikan.
Kata Abdul Rahim, harga minyak akan kembali naik apabila keadaan ekonomi di negara besar seperti China, Amerika Syarikat dan Eropah kembali pulih.
“Saya tidak fikir harga minyak akan kembali meningkat pada tahun ini melihatkan kepada ekonomi China yang belum ada perubahan drastik.
“Mungkin dalam enam bulan akan datang, keadaan akan berubah sedikit tetapi bergantung kepada ketiga-tiga negara besar itu (China, Amerika dan negara-negara Eropah),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.