Oleh Timmy Say
Semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), zaman di mana DAP masih bekerjasama dengan PAS, pembangkang mendapat 52% undi popular.
Namun 52% undi popular yang diperolehi pembangkang tidak dapat menewaskan Umno-BN, malah pembangkang tewas 89-133 (perbezaan 44 kerusi) di peringkat Parlimen.
Kini pembangkang berpecah, dan tertubuhnya Pakatan Harapan antara PKR, DAP dan Amanah. Manakala Pakatan Rakyat pula tinggal dua parti antara PKR dan PAS. Melihat senario perbalahan politik hari ini, boleh kita simpulkan secara ringkas:
a. Majoriti Orang Cina tidak menyokong PAS dan Umno b. Penyokong PAS tidak akan menyokong DAP dan Amanah
c. Penyokong Umno tidak akan menyokong DAP dan Amanah
d. PAS dan Umno tetap bertembung di kerusi majoriti Melayu
e. Kemungkinan besar berlaku pertandingan tiga penjuru
Ada beberapa senario pertandingan tiga penjuru:
Senario 1:
PAS lawan Umno, Amanah masuk di tengah-tengah. Pertandingan ini hanya menguntungkan Umno-BN.
Senario 2:
DAP lawan MCA/Gerakan, PAS masuk di tengah-tengah dengan seorang calon Melayu.
Pertandingan ini akan menjadi menarik sekiranya peratusan undi orang Melayu di kawasan ini melebihi 60% kerana DAP sedang bermusuh dengan PAS dan juga Umno, dua parti yang masih mengawal majoriti undi Melayu.
Senario 3:
Tiga penjuru seperti Kota Damansara dan Semenyih jika perbincangan kerusi gagal diselesaikan. Perlawanan tiga penjuru ini terbukti memihak kepada Umno, meskipun di kawasan campuran berinternet tinggi dan ketika pembangkang dalam keadaan bekerjasama.
Senario 4:
Akan berlaku satu senario yang menarik, di mana Umno merampas kerusi-kerusi MCA dan Gerakan yang mempunyai lebih 50% pengundi Melayu. Umno akan bertanding melawan DAP sendiri berdasarkan sentimen orang Melayu terhadap DAP.
Strategi ini akan terpakai sekali lagi di PRU14 kerana pada hari ini, MCA dan Gerakan sudah dikira lumpuh ekoran kontroversi perhimpunan baju merah. Jika sentimen kaum masih tinggi, pertandingan sengit dijangkakan akan berlaku.
Senario 5:
Jika DAP menurunkan calon Melayu, situasi Teluk Intan bakal berulang, malah dengan lebih teruk.
Pembangkang esklusif tanpa PAS
Bagaimana pula dengan undi popular di setiap negeri dan peringkat nasional bagi Pakatan Harapan tanpa penglibatan PAS bersama?
Analisa berikut melihat peratus undi popular bagi Pakatan Harapan di setiap negeri untuk 3 senario peratusan sokongan Melayu iaitu pada tahap 20%, 27% dan 33% manakala peratusan undi Cina berada pada 90%, undi lain-lain pada 65% untuk Semenanjung, 45% untuk Sarawak dan 55% untuk Sabah.
Analisa dibuat berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) pada PRU13 dan peratusan keluar mengundi 85% bagi Semenanjung dan 80% bagi Sabah dan Sarawak.
Carta analisa: Prediksi kasar bagi Pakatan Harapan peratusan undi popular
Berdasarkan analisa di atas, boleh dilihat kawasan selamat (peratusan undi popular melebihi 50%) bagi Pakatan Harapan hanyalah Pulau Pinang dan juga Wilayah, iaitu kawasan yang mempunyai lebih 50% pengundi Cina, meskipun peratusan sokongan undi Melayu hanya 20%.
Jika undi Melayu berkisar pada 33%, Pakatan Harapan mempunyai peluang untuk memenangi undi popular di Johor, Perak dan Selangor.
Namun undi popular tidak mewakili jumlah kerusi dan segalanya boleh berubah jika pertandingan tiga penjuru berlaku.
Di peringkat nasional, harapan Pakatan Harapan untuk menguasai Putrajaya sangat malap di mana undi popular hanyalah bergelar sekitar 38%-45% untuk peratusan sokongan Melayu antara 20%-33%.
Ini cuma anggaran kasar. Namun, ia tetap memberi gambaran mengapa PAS adalah komponen penting di kalangan pembangkang. Inilah sebab utama PKR masih berharapkan PAS ke dalam Pakatan Harapan, namun kehadiran Amanah menyulitkan perkara ini.
Jika ada salah seorang pekerja anda, berhenti bekerja dan menubuh syarikat baru sambil mengambil pelanggan anda bersama, sebagai pengurus syarikat, apakah anda akan mengiktiraf syarikat baru tersebut dengan berurusan dengan syarikat baru tersebut?
Jika anda mengiktiraf, bukankah anda sedang memberikan galakan kepada pekerja-pekerja lain untuk turut melakukan perkara yang sama pada masa hadapan?
Oleh itu, tiada syarikat akan melakukannya, sebab ia satu tindakan membunuh diri. Begitu juga dengan parti politik – sehinggalah satu waktu di masa depan.
Itulah senario kasar di PRU14 pada hari ini.
Namun, ada 4 faktor besar yang boleh menidakkan segalanya iaitu – perasaan rakyat pada perkauman, nilai ringgit, keadaan ekonomi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, jika beliau terus menerajui BN ketika PRU14 diadakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.