Oleh Subky Latif
ANTARA yang ditakwil golongan pemisah ialah PAS mengutamakan soal hukum seperti pelaksanaan jenayah syariah tetapi tidak peduli isu rakyat.Ia dikatakan tidak seperti sekutu Pakatan yang lain yang sentiasa ke depan dalam isu rakyat seperti keadilan sosial, antirasuah, membela nasib pekerja dan peduli dengan nasib orangorang yang tertindas.
Justeru, ia dikatakan anak muda tidak mendekati PAS dan orang suka merujuk kepada lain-lain parti bagi pendapatkan pembelaan.
Kita boleh terima kritikan itu tetapi ia bukanlah menghalalkan setengah pimpinannya untuk berpisah dan mengadakan kumpulan lain.
Jika PAS dilihat menonjol dengan isu hudud dan dapat membentang enakmen jenayah syariah di Kelantan dan Terengganu dan masih berhempas pulas untuk melaksanakannya di Kelantan, ia bukanlah itu saja diperjuang oleh PAS tetapi terserlah tentang itu justeru ia tidak diperjuangkan oleh pihak lain.
Bahkan ia ditentang oleh semua parti dan semua parti berkerumun untuk mengetuk kepalanya bila pelaksanaan hukum syariah itu berbangkit.
Bukan itu saja yang PAS peduli, yang lain pun ia peduli sama. Cuma pasang surut terhadap peranannya dalam setiap isu bergantung pada keupayaan dan kepintaran setiap kepimpinan yang mengisi PAS itu dari masa ke semasa.
PAS itu sejak mula ada berbagai lajnah prorakyatnya, tidaklah sekadar parti dakwah dan tarbiyah saja.
Ia ada lajnah buruh, lajnah pertanian, pengguna, undang-undang, pelajaran, ekonomi dan lain-lain.
Setiap yang terpilih dan terlantik duduk dalam jawatankuasa PAS diberi portfolio masing-masing.
Bukanlah PAS itu terserah sepenuhnya kepada presiden dan Mursyidul Amnya saja untuk mengidupkan PAS. Mursyidul am dan presiden itu masing- masing hanya ada dua tangan, tidak seperti setengah patung berhala yang banyak tangan. Dengan tangan dua kerat itu terhad keupayaan bekerjanya.
Bagi menangani kerja parti yang banyak itu maka ia tangan pimpinan yang lain memikir, merancang dan menggerakkannya.
Baik Dr Burhanuddin al- Helmy, Dato’ Asri Muda, Haji Yusof Rawa dan lain-lain tidak pernah mereka mencegah lajnah yang ditubuhkan itu untuk merancang kegiatan masing-masing.
Apakah setiap yang menjadi presiden itu acap mengaudit apa yang lajnah buat, apa programnya dan apa dicapai adalah satu hal yang lain tetapi pengerusi lajnah ada hak dan autonomi untuk menghidupkan lajnahnya.
Tidak ada timbalan Presiden dan naib-naib presidennya tidak memegang lajnah. Saya tidak pernah jadi timbalan presiden dan naib-naib. Sebagai ahli jawatankuasa pusat biasa saya pernah pegang lajnah dan duduk dalam beberapa lajnah. Saya tahu banyak yang saya boleh buat bagi menjadikan PAS parti yang peduli semua perkara.
-Saya tidak mahu kata apa yang saya sudah buat, tetapi amat minimalah keupayaan dan pencapaian saya. Jika pencapaian saya terhad tidak bolehlah saya letakkan kelemahan saya itu kepada PAS, kata PAS tidak buat itu dan tidak buat ini.
PAS sudah bagi kebebasan pada saya unuk mengisi semaksimum mungkin program yang berguna untuk PAS dan untuk semua.
Dengan kelemahan saya iu maka saya salahkan diri saya sendiri, malanglah PAS kalau atas kelemahan saya itu saya pindahkan sebagai kelemahan PAS.
-Saya tahu kelemahan saya, saya berundur. Saya tidak atasi kelemahan itu dengan menubuh parti baharu.
Kalau saya tubuh parti baharu bukanlah mustahil saya mengulangi kelemahan yang sama. Kalau saya tak mampu buat apa-apa dalam parti yang ada, tidak beserti kita boleh buat banyak dalam parti yang baharu.
Saya akui Mazlan Aliman yang PAS beri tanggungjawab mengepalai lajnah tanah. Tiada siapa dalam PAS ajar dia buat itu dan buat ini dalam lajnahnya. Bahkan presiden pun tidak sediakan pelan perancangan komprehensif tentang hal ehwal tanah.
Dia sendiri dengan rakan-rakannya membentuk pelan kerja, kita dapati dia kadang-kadang lebih tahu banyak masalah tanah dari menteri yang jaga tanah.
Dato’ Mahfuz Omar jadi pengerusi Lajnah Pengguna. Dia ada rangkaian dengan banyak persatuan pengguna. Sekalipun dia tidak buat satu badan pengguna sepeerti CAP dan Fomca, tetapi dia manfaatkan maklumat dan khidmat badan pengguna itu bagi membela kepentingan pengguna keseluruhannya.
Kita tidak tahu siapa ajar dia tetapi dia tampil dengan satu gerakan memantau segala yang berhubung dengan jalan raya dan lebuh raya. Denda ekor dan kamera mengesan laju kenderaan jadi sasarannya.
Goncang sistem kroni menindas pengguna lebuh raya oleh kerja kumpulan.
Dia tidak minta mandat PAS dan presiden untuk membuat semua kegiatan, tetapi tanggungjawabnya seorang dari pimpinan PAS untuk mengiklankan PAS tentang peduli PAS atas kepentingan orang ramai khususnya orang yang tertindas.
Mazlan dan Mahfuz tidak kata kgiatannya itu adalah kegiatan peribadi. Itulah kegiatan baik yang mereka dapat sumbangkan kepada PAS dan Islam sebagai pemimpin PAS.
Yang lain-lain pun buat kerja juga, tetapi Mazlan dan Mahfuz adalah contoh dapat memanfatkan keberadaan mereka dalam PAS bagi menjadik perhatian umum.
Kita jangan lupa apa yang al-Marhum Ustaz Abu Bakar Chik buat sebagai ketua Dewan Pemuda mengasas dan menggerak Unit Amal dan Pasti. Setiap demonstrasi Bersih mendapat liputan penuh anggota Unit Amal dari seluruh negara. Nyonya tua yang menyertai tunjuk perasaan Bersih sentiasa terdedah kepada tindakan polis kebanyakan mendapat perlindungan khidmat Unit Amal.
Mereka mencari dan berlindung di tempat yang ramai Unit Amal, bagi mendapatkan perlindungannya apabila keadaan cemas berlaku. Semua tahu dan bangga dengan khidmat Uni Amal itu. Ia terkenal sebagai satu khidmat pada masyarakat.
Beberapa kegiatan PAS itu adalah bukti PAS boleh tangani apa jua khidmat sosial jika setiap pemimpin yang diamanahkan memimpin lajnah dapat merancang program dan memberi khidmat kepada masyarakat.
Boleh semua pihak mentakwil keupayaan PAS mengurus parti. Tetapi tanggungjawab menjayakan kerja parti itu sekali pun peranan besar pimpinan utamanya, tetapi kejayaan sesorang jeneral atas bantuan dan sokongan setiap ketua unit di bawahnya.
Dalam Islam tanggungjawab dan pahala atas setiap khidmat sama saja antara panglima dan soldadu awam.
Jika yang diamanahkan untuk memantau dan menggembleng demokrasi, tidak memadai ia merancang dan berjaya mengadakan demonstrasi besar beberapa kali dalam masa lima tahun, tetapi tanggungjawabnya ialah menghidup demokrasi itu dalam hati setiap orang dan semua aspek berhubung demokrasi termasuk memikirkan mengadakan institusi menyuburkan demokrasi. Ia mesti digerakkan dari ilmu dan pengetahuan tentangnnya hingga bagaimana ia dapat menjadi darah daging semua orang.
Nabi tidak termasuk pakar dalam pertanian, tetapi baginda mengamanahkan pakar pokok kurma memastikan hasil kurma memenuhi permintaan pada zamannya.
Yang dikatakan kolektif itu ialah tidak bergantung pada satu orang, tetapi semua orang mesti berperanan mengikut keupayaan masing-masing.
Mungkin kita berpandu kepada pengalaman bekas Perdana Menteri (kini Presiden) Turki, Recep Tayyip Erdogan. Erdogan tidak meninggalkan partinya.
Tetapi mereka tidak ada parti. Dia tidak menyertai parti yang rakan-rakannya baru rancang. Dalam kekosongan itu dia buat parti. Tiada dalam sejarahnya dia keluar parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.