Ahad, 27 September 2015

Khuatir trend agama jadi jenama

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
 
 
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan kebimbangannya terhadap produk-produk di pasaran yang menggunakan agama bagi tujuan melariskan jualan.

Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan pandangan umat Islam menjadi sempit selain terlalu bergantung kepada produk seumpamanya.

“Sebagai contoh jika syarikat itu menjual air, orang ramai difahamkan seolah-olah air itu mempunyai kelebihan untuk tujuan perubatan sehingga dijual dengan harga yang mahal, akhirnya orang Islam bergantung kepada air itu kerana mereka faham apa sahaja yang berkait dengan agama adalah betul.

“Agama jadi permainan yang tak munasabah, sebelum ini saya dengar serbuk pencuci pun dibacakan 30 juzuk al-Quran, begitu juga dengan makanan sunnah seperti kurma dan kismis, jangan mendakwa kurma edaran merekalah yang pernah dimakan oleh Nabi Muhammad,” katanya.

Dr Asri berkata, ustaz yang ada juga seharusnya mengelak daripada menjadi duta mengkomersialkan produk tersebut.

“Kita tidak mahu masyarakat cuba menjadikan Islam begitu sempit sebagai contoh perubatan Islam hanya jampi, kismis, sedangkan hospital juga merupakan perubatan Islam.

“Saya tidak nafikan ada jampi dalam Islam tapi ada caranya, jika nak jampi dari orang yang tak pandai kepada pandai, yang jahat jadi baik, itu tak dapat diterima.

“Seperti juga maksud sunnah, apabila memakai serban di kepala ia adalah sunnah tapi apabila menaiki motosikal kita hendaklah memakai topi keledar bagi menjaga keselamatan sebab Nabi Muhammad waktu berperang pun memakai baju besi.

"Itulah sunnah yang sebenar. Jadi kita sebenarnya perlu mendidik masyarakat supaya melihat agama kita ini luas dan bukan disempitkan dengan fenomena sebegini,” jelasnya.

Justeru Dr Asri memberitahu, sebagai mufti beliau akan terus mendidik masyarakat memahami mengenai situasi ini.

Malah beliau akan turut membawa perkara tersebut dan berbincang dalam majlis fatwa.

“Selain itu, pihak saya bercadang duduk semeja dengan agensi terlibat seperti Jakim serta jabatan agama supaya produk yang berada di pasaran mempunyai garis panduan dan tidak sewenangwenangnya menggunakan nama agama,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.