Sabtu, 26 September 2015

Jalan Petaling aman, tiada rusuhan

SINAR HARIAN



pdrm


KUALA LUMPUR – Jalan Petaling hari ini aman tanpa sebarang rusuhan atau kehadiran elemen kumpulan baju merah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pemantauan di kawasan Bukit Bintang juga mendapati tiada elemen kehadiran kumpulan baju merah di lokasi berkenaan.

“Polis, bagaimanapun akan terus mengadakan rondaan dan pemerhatian.

“Penugasan anggota polis untuk memantau kawasan berkenaan setakat ini mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, Zainol berkata, sehingga jam 1 petang tadi, kegiatan perniagaan di sekitar kawasan Petaling Street beroperasi seperti biasa.

“Perniagaan pada sebelah pagi tertumpu kepada pusat makanan  manakala gerai-gerai lain dilihat mula dibuka secara berperingkat.

“Manakala pemantauan di kawasan Bukit Bintang khasnya di Plaza Low Yat mendapati perniagaan berjalan seperti biasa,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Petaling Street 'meriah' dengan pengunjung]

Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan akan berlakunya rusuhan di Jalan Petaling.

Rusuhan tersebut dikatakan akan diteruskan sekiranya tuntutan yang dibuat oleh beberapa badan bukan kerajaan(NGO) sewaktu himpunan baju merah 16 September lalu tidak diendahkan.

Antara tuntutan kumpulan itu adalah supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bertindak terhadap dakwaan penjualan barangan tiruan di Jalan Petaling.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.