KUALA LUMPUR, CALON PENGARAH TERBAIK FFM 27

  • Bernard Chauly – Manisnya Cinta Di Cappadocia
  • Kabir Bhatia – Dollah Superstar
  • Liew Seng Tat – Lelaki Harapan Dunia
  • Mamat Khalid – Amir & Loqman Pergi Ke Laut
  • Nik Amir Mustapha – Terbaik Dari Langit

ULASAN:

Buat pertama kalinya, senarai pencalonan akhir untuk kategori memperlihatkan variasi yang barangkali sudah tiba masanya peminat filem dan karyawan tempatan sendiri memberikan sepenuh perhatian.

Jika sebelum ini, senarai Pengarah Terbaik didominasi oleh pengarah berbangsa Melayu tetapi tahun ini semuanya berubah.

Maaf, saya tiada niat untuk bersifat rasis tetapi perkara ini sangat menggembirakan untuk diri saya sendiri.
Setidak-tidaknya, hasil kerja pengarah bukan dari kaum Melayu sudah mula dinilai dan dihargai sewajarnya. Jika tidak, mana mungkin tiga daripada calon akhir dalam kategori ini disenaraikan sebagai antara yang terbaik.

Itu menunjukkan industri perfileman kita sudah menampakkan sedikit perubahan dan diharapkan tiada halangan mahupun tembok yang terus menghalang mereka daripada menghasilkan filem bermutu tinggi.

Senarai Pengarah Terbaik tahun ini sudah cukup untuk membuktikan kepelbagaian genre dan hala tuju pengarah dalam memberikan dimensi baharu dalam hasil kerja mereka.

Daripada senarai ini, hanya Mamat dan Nik Amir sahaja yang pernah menjulang trofi Pengarah Terbak manakala Bernard pula sudah beberapa kali dicalonkan.

Hanya Kabir dan Seng Tat sahaja merupakan calon kali pertama yang disenaraikan dalam kategori yang tidak kurang hebatnya ini.

Masing-masing memiliki sentuhan tersendiri. Bernard misalnya, sangat cenderung dengan komedi romantik dan hasil kerjanya sendiri memang tidak pernah gagal untuk menyerlah.

Filem baharunya ini menampakkan kematangan Bernard sebagai pengarah lalu berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pengarah terbaik di negara ini.

Kabir pula seharusnya diiktiraf sejak filem Cinta lagi tetapi ketika itu disebabkan masalah warganegara yang dihadapinya, maka, haknya telah diketepikan.

Pun begitu, Dollah Superstar, saya kira sebuah filem komedi yang berbeza dan Kabir telah menyuntik elemen parodi yang bijak dalam membahaskan isu yang berlegar dalam industri seni kreatif tempatan.

Seng Tat pula mampu memberikan cabaran tahun ini dengan sentuhan indahnya dalam Lelaki Harapan Dunia yang saya sifatkan penghasilan yang cukup kemas dan menterjemahkan maksud tersiratnya.

Filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut pula mempamerkan sisi berbeza Mamat sebagai seorang auteur dan black comedy yang dipertaruhkan oleh anak jati Perak itu benar-benar menunjukkan kreativitinya sebagai seorang pengarah.

Bagaimana pula dengan Nik Amir? Apakah dia mampu mencipta kemenangan berganda selepas memenanginya tahun lalu menerusi filem Kil? Itu memang tidak mustahil kerana Terbaik Dari Langit juga bukan filem sembarangan.

Sentuhan dan ideologi anak muda seperti Nik Amir sangat diperlukan di dalam industri perfileman ketika ini yang semakin tandus dan gersang dengan karya bermutu tinggi.

Siapa pun yang menang, teruskan berkarya dalam menghasilkan filem yang dapat dibanggakan sekaligu mengangkat nama anda sebagai pengarah yang disegani di negara ini.