[ULASAN] Yang terkilan tentu Mohamad Sabu. Beliau sebagai pengerusi pertama gerakan Bersih tentu diimbau kenangan bagaimana ramainya penyokong PAS keluar berarak menuntut pilihanraya umum bersih dan adil diadakan pada 2007 lalu.
Namun lapan tahun kemudian, bekas timbalan presiden PAS itu tentu berasa sayu betapa beliau tidak mampu menggembleng sokongan ahli-ahli PAS untuk turut mengukuhkan perhimpunan siri keempat Sabtu dan Ahad lalu.
Jika beliau masih dalam PAS sudah tentu Mat Sabu boleh “menyelam sambil minum air”. Beliau tentu boleh “mengerahkan ahli PAS” berdemonstrasi dan pada yang sama ‘mengukur penerimaan kepimpinannya’ dalam PAS.
Sementara yang cemas sepanjang dan sesudah Bersih 4 tamat tengah malam Hari Kebangsaan lalu, pastinya PKR. Ia perlu mengakui tidak mempunyai daya dan pengaruh untuk menggerakkan orang Melayu menyertai Bersih 4.
Akibatnya, penyertaan penyokong Bersih dari kalangan rakyat keturunan Melayu cukup hambar hingga ada yang menganggarkan kehadiran mereka tidak sampai 20 peratus daripada kira-kira 30,000 yang keluar berdemonstrasi.
Bagaimanapun yang mungkin puas dengan Bersih 4 tentulah DAP. Ia boleh mendabik dada berjaya menyuntik keberanian di kalangan bukan Melayu untuk tampil mendesak perubahan dan perbaikan sistem pilihanraya dan kerajaan.
Adalah nyata bahawa hampir 80 peratus yang keluar berdemonstrasi selama 34 jam acara Bersih 4 hujung minggu lepas adalah bukan Melayu.
Tentu DAP bangga dapat memecahkan mitos bahawa orang bukan Melayu hanya mementingkan keuntungan ekonomi tetapi kurang peduli soal mewujudkan sistem pemerintahan kerajaaan yang telus.
Pada masa sama Bersih 4 juga mungkin menjentik kerisauan pada DAP. Ia perlu akur bahawasanya hanya PAS yang berpengaruh dan berdaya menggembleng azam rakyat untuk berdemonstrasi.
Jika DAP masih berharap PKR dan Mat Sabu serta GHBnya untuk menggerakkan kuasa dan pengaruh politik mereka ke atas orang Melayu, kini terbukti bahawa itu adalah sesuatu yang “bak jauh panggang dari api”.
Iktibarnya, jika masih tidak terdetik di hati pemimpin DAP betapa “keangkuhan” mereka mencerca PAS dan pemimpinnya dan dengan lancang mengumumkan berkuburnya Pakatan Rakyat, memang DAP masih belum “sedar diri”.
Yang mungkin tersenyum dalam hati akan natijah Bersih 4 ialah pemimpin-pemimpin PAS. Corak penyertaan Bersih 4 tentu menggambarkan betapa pada umumnya ahli-ahlinya masih taat pada pimpinan.
Mereka tidak keluar berdemonstrasi walaupun “dipujuk” oleh Mat Sabu dan rakan-rakannya yang kelihatan amat bangga dan yakin mengasaskan Gerakan Harapan Baru (GHB) kerana “mual” dengan halatuju perjuangan PAS kini.
Sekaligus ia mengisyaratkan bahawa “sergahan-sergahan” kumpulan serpihan PAS ini yang bercita-cita membentuk sebuah parti Islam yang mempunyai kekuatan menyaingi dan menyingkir PAS hanya “olok-olok politik” sahaja.
PAS nampaknya dapat membaca bahawa golongan yang mendakwa progresif Islam yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai pemimpin oleh ahli akar umbinya pasti lebur wibawa mereka tanpa PAS.
Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang memberikan empat hujah mengapa penghijrahan kumpulan yang mengaku progresif dari PAS ke gagasan GHB tidak akan meninggalkan kudis pada PAS.
“Tentang Bersih ni kita tak ikut berarak. Pasal apa? Kita tak jadi kepala. Kalau kita jadi kepala tak apa. Kalau orang jadi kepala kita ikut ajelah. Dia masuk lubang biawak kita masuk lubang biawak,” katanya.
Beliau tetap menegaskan bahawa matlamat Bersih itu baik dan PAS tetap menyokongnya. Bagaimanapun beliau berkata, dalam gerakan itu biarlah PAS jadi pemimpinnya.
PAS cuma mendapat jemputan daripada penganjur Bersih 4 pada saat-saat akhir kerana dipercayai DAP yang “mengambil alih” urusan penganjuran Bersih 4 masih kurang selesa dengan kehadiran PAS.
“Kalau orang (lain) jadi kepala dia buat tak munasabah. Antaranya dia pilih 30 haribulan (Ogos). Orang sibuk sambut merdeka. Semua kaum sambut merdeka. Kita pun nak merdeka juga. Orang Umno pun nak merdeka juga.
“Biar kita pakat sama nak sambut merdeka belaka. Tok sah sibuk nak Bersih-Bersih. Nak Bersih ni buat hari lain. Ni dia pilih kat hari tu juga. Ni tak sesuai,” katanya.
Menurut Hadi, hujah kedua mengapa PAS tidak turut dalam Bersih 4 adalah kerana soal kawalan akhlak.
“Majlis yang dia dok buat dulu banyak benda yang tak sesuai dengan kita. Tak sesuai dengan akhlak-akhlak Islam. Bila tak sesuai dengan akhlak Islam kalau benda itu berdosa kita pikul sama.
“Terlajak. Ada benda yang terlajak. Arahan-arahan yang terlajak kita tak mahu. Yang sedapnya ramainya orang kita. Orang dia tak ramai. Bila kerah orang PAS suruh berarak, turun selalu,” katanya.
Hadi berkata, hakikat ini adalah iktibar yang harus ditimba daripada pengalaman pergerakan Islam di seluruh dunia di mana pejuang Islam sering “terpedaya dengan pihak yang tidak menyenangi Islam”.
“Inilah yang berlaku di Mesir; di Indonesia dan di mana-mana. Kita kena sedar. Bila lawan komunis di Indonesia, puak-puak pondok Islam turun habis berarak. Bila komunis ‘mampus’ orang lain naik. Puak-puak Islam jadi anak tangga aje.
“Di Mesir pun begitu juga. Puak-puak Ikhwan keluar berarak. Jatuh Mubarak naik al Sisi. Tak boleh buat apa-apa. Orang lain naik. Kita jadi anak tangga. Kita tak mahu PAS mengulangi jadi anak tangga. Tidak boleh,” kata Hadi.
Hujah ketiga, kata Hadi ialah, Bersih akan menimbulkan dilema PAS mungkin mengadu-dombakan golongan rakyat yang miskin dan menghadapi masalah ekonomi yang berat.
“Kita berlawan dengan kaum, bangsa umat dan rakyat sendiri yang jahil dan tak tahu kala. Kita bertempur dengan siapa? Bertempur dengan polis; bukan dengan Umno bukan atau pemimpin-pemimpin yang buat tak jeruh tu.
“Orang kampung (menghadapi) harga barang naik (kerana) GSTlah dan macam macam harga barang naik. Orang kampung hidup susah sebab itu berarak sebab susah.
“Lepas tu berlawan dengan polis. Polis pula gaji murah. Hidup susah juga. Jadi orang susah berlawan sesama sendiri. Kita orang kampung yang susah berlawan dengan polis,” kata presiden PAS itu.
Dalam hujah keempatnya Haji Hadi menegaskan bahawa ahli-ahli PAS seharusnya bertindak cerdik, bijak dan pandai.
“Yang akhirnya, kita jangan bimbang. Kita jangan takut. Orang sokong Pas kerana perjuangan Islam. Kalau(pun) seseorang tu jadi pemimpin besar manapun lari dari perjuangan Islam, tinggal dia aje. Orang tak ikut dia,” tingkah Hadi.
Bersih 4 sudah datang dan pergi. Namun wibawanya di mata orang Melayu agak hambar. Namun pendirian dan alasan yang diberi Hadi tidak menyokong gerakan itu agak mencabar minda, terutama muhajirin GHB.
Benar atau tidak bukan persoalan lagi. GHB gagal memujuk dan merangsang ahli dan orang Melayu lain untuk menyertai Bersih 4. Mampukah GHB mendapat tempat di sisi DAP yang jelas memonopoli kempen politik Bersih 4?
Pada masa yang sama, apakah PKR sebenarnya ada pengaruh dan kekuatan untuk merangsang orang Melayu untuk semakin merapati DAP?
Dalam pada itu, memadaikah bagi PAS hanya bergantung kepada suratan takdir dan keyakinan bahawa perjuangan Islam mesti menang tanpa menilai dan menyelesaikan realiti perpecahan dalam umat Melayu-Islam?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.