Isnin, 31 Ogos 2015

Selepas tamatnya Bersih 4, apa pula sekarang?



Oleh Mike Tan

 
BERSIH 4: Selepas dua hari yang sibuk dan padat, Bersih 4 akhirnya tamat. Secara kebetulan, hari ini adalah ulangtahun kemerdekaan, dan perarakan rasmi sedang berjalan.

Namun ramai rakyat Malaysia mengadakan sambutan mereka sendiri semalam dengan menyertai Bersih 4. Pemandangan kuning tersebar di sepanjang Jalan Tun Perak dan kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Ada ucapan berapi, sesi debat dan diskusi, dan malah konsert jalanan spontan. Tetapi yang paling penting, rakyat biasa hadir beramai-ramai dan bergaul sesama mereka, saling menyuarakan pandangan dan pendapat.

Dan mereka beramai-ramai menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kita.

Merentasi Laut China Selatan, warga Sarawak dan Sabah juga bersama-sama dan menganjurkan perhimpunan sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersih 4. Warga Sarawak berhimpung di ibu negeri mereka, Kuching dan ia berjalan lancar tanpa masalah. Mereka melakukannya dengan begitu baik sehigga membuat keputusan menamatkannya sehari lebih awal!

Malangnya di Sabah, perhimpunan di Kota Kinabalu untuk hari kedua terpaksa dibatalkan selepas polis menyekat laluan masuk ke tempat perhimpunan. Selepas berbincang dengan polis, pengerusi Bersih Sabah Jannie Lasimbang menamatkan program Bersih 4 KK.

Di Seluruh dunia, rakyat Malaysia turut mengadakan perhimpunan di pelbagai kota, dan berkongsi gambar dan kisahnya.



Dan kini selepas ia berakhir, masanya untuk membuat penilaian.

Jadi apakah langkah kita selepas ini?

Tidak dapat dinafikan, penganjur Bersih 4 dan kumpulan yang berkaitan akan bertemu untuk membuat strategi dan merangka langkah seterusnya. Boleh jadi ada Bersih 5 pada masa hadapan.

Namun bagi rakyat biasa yang menyertai Bersih 4 – terutama mereka yang kali pertama – pengalaman dan pendedahan yang mereka dapat pasti akan membuka mata dan minda dengan idea dan pemikiran baru.

Sepanjang Bersih 4 berlangsung, mereka yang ditemui pasukan Semut Harian menyuarakan rasa bimbang terhadap negara dan keperluan untuk bertindak. Itulah sebabnya mereka memutuskan untuk bangun dan didengar.

Mereka tidak lagi merasa cukup untuk sekadar duduk di tepi, atau kekal tidak endah tentang cabaran yang dihadapi negara.

Mereka bersedia untuk mengambil tanggungjawab selaku warga Malaysia dan melakukan apa yang boleh untuk memastikan negara ini diangkat ke tahap yang baru. Mereka ada idea tentang Malaysia yang mereka mahukan – sebuah negara yang adil dan saksama, dipimpin kerajaan yang cekap dan tidak rasuah.

Apa yang belum diketahui adalah sama ada pihak berkuasa bersedia untuk melibatkan rakyat dan berganding tangan untuk mencapai ideal-ideal ini-  http://bm.theantdaily.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.