KUALA LUMPUR - Waris penumpang MH370 masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa berhubung laporan penemuan serpihan kapal terbang di Pulau La Reunion Rabu lepas, yang berkemungkinan milik pesawat malang itu.
Bagi Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang Mohd Khairul Azmi, beliau sejujurnya tidak begitu percaya serpihan ditemui itu milik MH370 berdasarkan jarak yang terlalu jauh dari kawasan pencarian di Lautan Hindi.
"Namun saya serahkan segalanya kepada kerajaan dan pasukan penyiasat, apa yang mereka kata saya terima. Kalau serpihan itu memang dari MH370. Alhamdulillah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Selamat berkata MAS sentiasa menghubunginya bagi memaklumkan setiap perkembangan terbaharu berhubung MH370.
"MAS memang ada hubungi saya untuk memberitahu perkembangan semasa tentang pencarian MH370 termasuk penemuan serpihan itu dua hari lepas," katanya.
Kelvin Shim, 39, suami kepada pramugari Christine Tan, berkata beliau masih keliru sama ada mahu mengharapkan serpihan itu benar-benar milik MH370 ketika siasatan masih dijalankan.
"Sebenarnya, saya tidak tahu sama ada mengharapkan serpihan itu milik MH370. Jika terbukti benar, saya mahu ke sana melihatnya sendiri," katanya.
Beliau juga berkata MAS ada mengirimkan dua emel kepadanya semalam dan hari ini untuk memaklumkan perkembangan terkini dan salah satu emel itu mengandungi surat yang dikatakan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Mereka ada menelefon saya bertanya sama ada menerima emel itu dan berkata akan melakukan yang terbaik bagi mendapatkan berita awal untuk kami," katanya.
Bagi anak sulung ketua pramugara MH370 Andrew Nari, Maira Elizabeth Nari, 19, beliau mengharapkan sesuatu yang pasti berhubung penemuan terbaharu itu.
"Saya berasa gementar menantikan pengesahan daripada pasukan penyiasat nanti,” katanya.
Beliau menyifatkan perkembangan terbaharu mengenai MH370 yang diketahuinya melalui laman sosial itu bukan sesuatu yang boleh diyakini setakat ini dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Rabu lepas, beberapa imej serpihan dipercayai daripada Boeing 777 tersebar dalam media sosial dan memberi harapan baharu dalam usaha mengesan pesawat malang MH370 yang hilang itu.
Airlive.net, sebuah laman web yang membawa berita dan maklumat mengenai industri penerbangan mengeluarkan tweet gambar serpihan pesawat dan memuat naik status 'BREAKING Piece of wing found on La RĂ©union Island, could that be flap of #MH370? (BERITA TERKINI Serpihan sayap ditemui di La Reunion Island, mungkinkah ia sayap #MH370?)
Pesawat MH370 hilang dari radar kira-kira tengah malam pada 8 Mac tahun lepas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.