Ahad, 30 Ogos 2015

Makna kehadiran Dr Mahathir ke himpunan Bersih 4



 
Oleh Amin Iskandar 


Tiadalah berita yang paling besar di Malaysia minggu ini selain kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah ke perhimpunan Bersih 4, berhampiran Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur semalam.

Apa signifikannya kehadiran Dr Mahathir ke perhimpunan yang dibanjiri orang ramai berbaju kuning itu?

Pertama, maksudnya masa sudah tiba untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dengan apa cara sekalipun bagi menyelamatkan Malaysia.
Ini termasuklah menggunakan jalan demonstrasi jalanan.

Kejatuhan nilai ringgit dan isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih belum selesai membimbangkan semua bukan sahaja di peringkat atasan tetapi juga rakyat bawahan.

Kehadiran Dr Mahathir bukan sahaja "mengejutkan" perserta Bersih 4, tetapi juga Najib, menteri, media tempatan dan antarabangsa serta pihak berkuasa.

Dr Mahathir hanya mengatakan: "Teruskan, teruskan" dan ianya sudah cukup membangkitkan semangat peserta Bersih 4 untuk meneruskan perhimpunan yang pertama kali diadakan selama 34 jam itu.

Ke-2, kehadiran Dr Mahathir semalam akan menyebabkan lebih ramai lagi orang yang hadir menyertai Bersih 4 hari ini kerana "jaminan" bekas perdana menteri ke-4 itu.

Jika Dr Mahathir boleh turun dan singgah ke perhimpunan Bersih 4, mengapa tidak pemimpin dan ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan 1MDB serta penyingkiran timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal daripada Kabinet.

Berita yang tersebar tentang kehadiran Dr Mahathir ke Bersih 4 menjadi viral di media sosial dan akan menambahkan keyakinan terutamanya bagi orang-orang Melayu untuk memenuhkan Kuala Lumpur hari ini.

Jika semalam dianggarkan di antara 200,000 dan 300,000  menyertai Bersih 4 dan kehadiran orang-orang Melayu tidak begitu membanggakan, tidak mustahil dengan kehadiran kaum majoriti itu akan menyebabkan angka yang berhimpun di Kuala Lumpur mencecah sejuta orang.

Ke-3, apakah "kelunakan" polis dalam "memberikan laluan mudah" kepada himpunan Bersih 4 memberikan isyarat Dr Mahathir masih berpengaruh dalam Cawangan Khas (SB) dan perpecahan berlaku dalam organisasi itu akibat daripada tindakan drastik pentadbiran Najib?

Ketegasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sehari sebelum himpunan Bersih 4 mengharamkan T-shirt kuning tertulis "Bersih 4" tidak diterjemahkan dengan "kelembutan" polis dalam menggendalikan perhimpunan.

Ertinya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih gagal untuk menguasai pasukan polis yang menjadi "tunjang" kepada jatuh atau naiknya sesuatu kerajaan itu.

Melihat kesanggupan hadirin tidur bergelimpangan menunggu sehingga pagi bagi meneruskan perhimpunan 34 jam itu memberikan isyarat "tidak baik" kepada jangka hayat Najib sebagai perdana menteri.

Inilah yang membimbangkan Najib dan pimpinan tertinggi Umno. Mungkin juga ramai yang tidak boleh tidur malam tadi termasuklah Najib sendiri!

Di mata peserta perhimpunan Bersih 4, kehadiran Dr Mahathir semalam seumpama memberikan "vitamin" kepada mereka untuk terus berhimpun sehingga tuntutan mereka tercapai.

Termasuk Najib letak jawatan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.