Khamis, 27 Ogos 2015

Mahasiswa boleh berfikir sendiri



Oleh Nik Nazmi Nik Ahmad


Kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, yang menyarankan mahasiswa agar tidak terlibat dengan perhimpunan Bersih 4 jelas menunjukkan betapa Umno-Barisan Nasional (BN) tidak pernah berubah, masih dibelenggu cara pemikiran politik lama.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin mengingatkan beliau yang mahasiswa pada hari ini lebih terdedah dengan perkembangan isu semasa di dalam dan luar negara. Justeru, mereka boleh dan mesti digalakkan untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Mahasiswa dan anak muda lambat laun akan menjadi majoriti pengundi, dalam pada itu mereka bukan sahaja berdepan dengan realiti kehidupan sebenar tetapi mesti sedar tentang pengaruh politik dan ekonomi dalam kehidupan mereka.

Hutang PTPTN, harga rumah yang mahal, kesenjangan pendapatan yang semakin meluas, kos hidup yang kian meningkat, semuanya adalah masalah yang akan didepani oleh mahasiswa selepas mereka bergraduan.

Kekangan terhadap mahasiswa adalah bukti kerajaan sedar anak muda sememangnya boleh menggugat hegemoni kuasa parti pemerintah. Pindaan Auku yang kononnya lebih memberi kebebasan untuk mahasiswa terlibat dalam aktiviti politik ternyata hanyalah cakap kosong pemimpin Umno-BN.

Hakikatnya, bukan sahaja mahasiswa seperti Fahmi Zainol dan kawan-kawan di Universiti Malaya (UM), Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dikenakan tindakan tatatertib, tetapi pensyarah-pensyarah yang vokal, memberi pandangan berdasarkan ilmu mereka juga ditekan dan dihukum.

Malam tadi, 17 pelajar yang terlibat dengan protes aman #occupyparliament pula ditangkap. Sekali lagi polis menggunakan seksyen 124B Kanun Keseksaan atas alasan mereka menjejas demokrasi Parlimen,
sedangkan desakan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur tidak sepatutnya dikaitkan dengan pemudaratan Parlimen mahupun demokrasi. Malah, ia sebahagian hak asas demokrasi.

AMK ingin mengingatkan universiti adalah medan mengukuhkan peribadi merdeka di kalangan warga.

Pastinya, apabila Umno-BN hilang kuasa pemerintahan, kami akan memastikan reformasi sampai ke setiap sudut universiti, hentikan segala kekangan dan mengembalikan nilai sebenar sebuah institut pengajian tinggi.

Oleh itu AMK menyeru seluruh mahasiswa turut sama hadir dalam perhimpunan Bersih 4 pada 29-30 Ogos nanti.

Kita akan tunjukkan kepada Umno-BN yang zaman ketakutan sudah berlalu, fajar perubahan pula akan mengambil tempat. Mahasiswa yang bebas dan beranilah yang akan mengisi perubahan ini dengan ilmu dan jiwa yang sentiasa bersama masyarakat - TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.