PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi terpaksa menagguhkan
keputusan rayuan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo
selepas Mohamad Khir tidak hadir ke mahkamah.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tan Sri
Zulkefli Ahmad Makinuddin menangguhkan keputusan itu selepas Peguam Tan
Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Khir memaklumkan anak
guamnya masih ditahan di Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan
sejak semalam.
Korum yang turut dianggotai Tan Sri Ahmad Maarop; Tan Sri Hasan Lah;
Tan Sri Jeffery Tan Kok Hwa; dan Datuk Ramly Ali seterusnya menetapkan
22 September depan untuk keputusan.
Mahkamah Persekutuan sepatutnya memberikan keputusannya hari ini
selepas Mohamad Khir selaku perayu dan pihak pendakwa raya sebagai
responden selesai mengemukakan hujahan masing-masing pada 19 Januari
lalu.
Semalam media melaporkan Mohamad Khir dikejarkan ke Hospital Selayang
apabila rebah selepas berjoging di kawasan rumahnya di Seksyen 7 Shah
Alam.
Setelah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang, Mohamad Khir kemudiannya dirujuk ke IJN untuk pemeriksaan lanjut.
Mohamad Khir, 49, merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei tahun
lalu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara atas tuduhan
mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zahrah Kechik, 48, hartanah
bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam
pada 23 Disember dua tahun lalu yang mengarahkan perayu dilucutkan hak
ke atas hartanah yang dimiliki itu dan ia akan diserahkan kepada
kerajaan.
Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah
dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada
Ditamas Sdn. Bhd. melalui Shamsuddin Hayroni yang merupakan
pengarahnya.
Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga
RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada
harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui
bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai
Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.