Majlis Daerah Perak Tengah (Majlis Belia Daerah Perak Tengah) beranggapan bahawa ia mempunyai tugas pengawalan moral untuk membanteras gejala-gejala sosial dengan mengharamkan penjualan tempahan tempat duduk berkembar “couple seats” di pawagam Lotus Five Star (LFS) di Bandar Seri Iskandar, Perak.
Menurut kenyataan pembantu pawagam, peraturan tersebut telahpun dilaksanakan sejak dua tahun dahulu dan telah diluluskan oleh pihak Majlis Daerah Perak Tengah sebagai langkah membenteras gejala negatif sosial di kalangan belia. Peraturan tersebut hanya dikenakan kepada pasangan Muslim, termasuk juga jika salah seorang pasangan itu adalah Muslim.
Dalam apa juga bidang kuasa dan penguatkuasaan, ia harus berteraskan kepada undang-undang, dan tidak boleh dibuat sebarangan. Perlu diingatkan bahawa majlis kerajaan tempatan adalah tertakluk di bawah 3 akta yang penting iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Perparitan dan Bangunan 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Pada umumnya majlis kerajaan tempatan di Malaysia mempunyai kepelbagaian fungsi seperti perkhidmatan awam dan alam persekitaran (khidmat jalanraya, penguatkuasaan dan kawalan lalulintas, pengawalan banjir, pengurusan fasiliti sukan dan rekreasi, perancangan dan pembangunan kawasan di bawah bidang kuasa pihak majlis) dan sosial (perumahan dan kutipan sampah, termasuklah program-program pendidikan awam, menyediakan kemudahan bagi golongan OKU dan warga emas).
Sehingga kini, terdapat 13 buah majlis bandaraya, 38 buah majlis perbandaran, 98 buah majlis daerah dan 5 buah majlis kerajaan tempatan khas yang diubahsuai di Malaysia. Kerajaan tempatan merupakan kerjaan perwakilan di peringkat ketiga dalam struktur bidang urus kerajaan – persekutuan (peringkat pertama), negeri (peringkat kedua), dan kerajaan tempatan (peringkat ketiga).
Di samping melaksanakan tugas perkhidmatan dan perwakilan, pihak majlis mempunyai kuasa memungut cukai, menggubal undang-undang kecil, serta kuasa meluluskan lesen atau permit kepada sebarang urus niaga dalam kawasan di bawah bidang kuasa majlis.
Dengan itu, sebarang tindakan untuk membanteras gejala negatif sosial memerlukan tindakan yang lebih daripada hanya sekadar menghadkan penjualan tiket tempahan “couple seat” di pawagam. Ia memerlukan kajian yang menyeluruh dan terperinci.
Terdapat beberapa dapatan hasil kajian yang mengenalpasti beberapa faktor yang ada hubungkait dengan fenomena gejala anti-sosial. Memetik hasil kajian ilmiah Journal of Human Ecology terbitan 2005,
“Recreational Facilities in Schools: A Panacea For Youths’ Restiveness” menekankan beberapa pengaruh utama seperti tekanan rakan sebaya, eksploitasi ekonomi, keterbatasan kebajikan sosial dan insaniah, program latihan kemahiran yang tidak mencukupi, kekurangan fasiliti sukan dan riadah serta kualiti pendidikan yang rendah.
Pengangguran serta sistem ekonomi yang pincang merupakan dua masalah utama yang wujud di kalangan para belia di hampir semua negara membangun.
Ramai pakar serta rakyat biasa sedar bahawa kekurangan peluang pekerjaan, terutama kelompok di bawah paras kemiskinan adalah bertanggungjawab dalam mencetuskan kegelisahan yang membawa kepada keadaan sosial yang mencemaskan.
Pendidikan yang tidak bermutu juga mencetus keresahan para belia yang membiakkan gejala-gejala anti-sosial. Memetik kata-kata Nelson Mandela, “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world” (Pendidikan adalah senjata paling ampuh anda boleh gunakan untuk mengubah dunia).
Oleh demikian, untuk memantapkan nilai moral yang murni dan meningkatkan perkembangan nilai dan sahsiah yang mapan dan sihat, kita perlu mengkaji semula sistem pendidikan negara sambil mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang ada dan menggantikannya dengan sistem pendidikan yang lebih dinamik dan berwawasan demi kesejahteraan rakyat dan negara. – Roketkini.com
* Penulis adalah Setiausaha Sosialis Muda DAP (DAPSY) Bukit Bendera merangkap Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.