Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan ahli parti itu agar tidak melabelkan dirinya sebagai pengkhianat, dan berkata beliau sudah 40 tahun berjuang bersama parti Melayu itu.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ketika Umno diharamkan dulu, beliau membina semula parti itu di Johor sehingga menjadi penyumbang besar kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya umum.
"Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada Umno cukup panjang. Saya juga tetap setia bersama parti ketika Umno menghadapi pelbagai krisis," kata ahli Parlimen Pagoh itu dalam satu kenyataan petang ini.
"Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan,” katanya. Muhyiddin turut kesal dengan sikap segelintir individu dalam Umno yang lantang menuduhnya sebagai pengkhianat sedangkan mereka pernah dibantu semasa beliau berada dalam kerajaan.
Muhyiddin berkata, lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecamnya.
"Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan.
"Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan," katanya.
Umno Bahagian Penampang, Sabah pada Ahad lalu meluluskan resolusi meminta tindakan disiplin diambil terhadap Muhyiddin kerana gagal menjaga nama baik, integriti dan maruah parti.
Mereka berkata, Muhyiddin melanggar Perkara 20.8 Perlembagaan Umno dalam ucapannya semasa mesyuarat bahagian di Cheras, Pagoh, Kemaman, Kluang dan Semporna di mana perkataan yang dikeluarkan bersifat negatif dan boleh menjejaskan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.