KUALA LUMPUR: Dulu nama-nama besar dalam PAS sering memberi pandangan
serta nasihat kepada akar umbi agar berpegang teguh dasar parti, kini
bertukar senario apabila mereka pula mahu meninggalkan perjuangan Islam
yang dilaungkan selama ini.
Malah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani
menyifatkan pimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak berpegang kepada
janji untuk setia yang dilafazkan.
"Kita merasa sedikit terkilan dengan apa yang berlaku sebab kita anggap
mereka ini sebagai saudara dan sahabat perjuangan kita yang begitu
lama.
"Malah kita sebahagian besar pernah menjadi orang bawah kepada mereka
yang kita sentiasa dengar pandangan, nasihat ataupun bimbingan daripada
mereka satu masa dulu," katanya kepada Antarapos.
Beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan perkembangan tersebut yang
menyaksikan nama-nama besar PAS seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub,
Datuk Dt Mujahid Yusof dan ramai lagi mahu meninggalkan parti Islam itu.
"Sedikit terkilan sebab mereka yang beri pandangan serta nasihat tapi
tiba-tiba mereka sendiri mengambil sikap meninggalkan perjuangan yang
dibawa PAS," katanya.
Pada 13 Julai lalu, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan
progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti mengumumkan akan
menubuhkan GHB bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.
Gerakan itu dipengerusikan Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden
PAS manakala antara anggota jawatankuasa interimnya ialah bekas Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung
PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar; dan bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin.
GHB yang telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti
politik, dilihat sebagai pengganti PAS dalam gabungan pembangkang
Pakatan Rakyat selepas DAP dan PAS memutuskan hubungan.
Tiada alasan untuk wujudkan GHB
Azman Shapawi menambah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus disokong dan akan menolak GHB.
"Sebab saya merasakan sampai hari ini saya tidak bertemu satu alasan
boleh saya terima dari sudut agama sebab apa mereka keluar daripada PAS?
"Kadang-kadang alasan yang diberi saya rasa tidak boleh diterima akal
kerana tidak bersetuju dengan presiden kerana kita nak menuju ke
Putrajaya dan itu sahaja alasan yang kita terima tak lebih daripada
itu," katanya.
Tegas beliau, tiada alasan kukuh diberikan untuk menubuhkan GHB dan
menganggap GHB diwujudkan atas dasar kekecewaan pihak tertentu kerana
tidak tewas dalam pemilihan jawatan pada Muktamar Tahunan PAS, Jun lalu.
"Saya menganggap orang yang lari datipada perjuangan PAS yang telah
berbai'ah sebelum daripada ini selagi mana PAS tidak menyeleweng
daripada agama, al-Quran dan hadis maka dia telah melanggar satu bai'ah.
"Sebab kita berada di atas landasan yang betul kemudian dia lari
daripada landasan yang betul dan meninggalkan perjuangan Islam itu maka
itu salah satu perkara yang dianggap melanggar bai'ah itu sendiri,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.