KUALA LUMPUR: DAP kesal dengan tindakan polis menahan sekumpulan mahasiswa yang berhimpun secara aman di luar bangunan Parlimen pada lewat malam tadi.
Ketua Sosialis Muda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong, berkata kumpulan anak muda itu hanya menunaikan hak mereka sebagai warga perihatin tetapi telah dibungkam oleh pihak berkuasa.
“Sebenarnya mahasiswa cuma menunjukkan keperihatinan mereka terhadap negara yang tercinta serta menyuarakan tuntutan secara aman tanpa menyebabkan sebarang kacau ganggu kepada mana-mana pihak,” katanya kepada Roketkini.com.
Menurutnya, hak anak-anak muda, seperti mana hak rakyat Malaysia yang lain untuk berhimpun, memang dijamin oleh Perlembangaan Persekutuan, dan ia harus dihormati oleh semua pihak.
“Saya berharap pihak kerajaan, khususnya penguatkuasa janganlah menyusahkan anak-anak muda kita. Mereka adalah generasi pemimpin masa depan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah.
Kok Seong mengulas tindakan polis menahan 16 orang mahasiswa dan aktivis muda lewat malam tadi ketika mereka berkumpul secara aman di luar bangunan Parlimen.
Kesemua mereka telah dikenakan tahanan reman selama tiga hari di pusat tahanan polis di Jinjang di sini.
Sekumpulan mahasiswa telah berarak dari kawasan Bank Negara di ibu kota ke bangunan Parlimen dua hari lalu, dan telah berkhemah di sana, untuk menuntut Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Walaupun hujan lebat, mereka tetap berkhemah sehingga pihak polis datang menangkap mereka lewat malam tadi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.