Isnin, 31 Ogos 2015

Belon kuning dilepas dalam acara Najib

Anne Muhammad 





Tujuh belon kuning dilepaskan oleh seorang individu di pusat membeli belah Pavilion sewaktu acara yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor.

Belon yang dilepaskan dari tingkat lima itu menarik perhatian umum apabila ia dilepaskan ketika Najib menonton persembahan tarian ketika pembukaan DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur, petang ini.

Namun begitu, belon tersebut berlegar-legar di udara sebelum jatuh di belakang pentas utama dan kemudiannya disimpan oleh pasukan keselamatan pusat membeli belah itu.

Sekitar 200 pengunjung terkejut apabila melihat belon itu, ada di antara mereka yang merakamkan kejadian tersebut dan ada juga menuding jari ke tingkat atas.

Belon yang antaranya tertulis perkataan "Democracy", "Justice", "Free Media" itu kemudiannya dipecahkan oleh beberapa pengawal keselamatan yang berada di tingkat bawah.

Manakala seorang polis bantuan lagi pula, terus ke tingkat lima untuk menjejaki individu yang melepaskan belon berkenaan.

Najib dan Rosmah tidak menunjukkan sebarang reaksi kerana tidak menyedari insiden itu berlaku.

Sebelum belon kuning itu dilepaskan, kedua-duanya meluangkan masa meneliti pameran lukisan yang diadakan di ruang legar tingkat bawah pusat membeli belah itu.

Najib yang juga menteri kewangan tidak memberi sebarang ucapan atau mengadakan sidang media.

Najib dan Rosmah meluangkan masa selama satu jam di majlis itu terus meninggalkan pusat membeli belah itu sambil diiringi pegawainya.

Ratusan ribu rakyat menyertai perhimpunan BERSIH 4 yang berlangsung selama 34 jam di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad.

Beliau mendesak supaya Najib melepaskan jawatannya ekoran pelbagai masalah yang dihadapi negara bawah pentadirannya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib meluangkan masa selama beberapa minit menyaksikan pameran lukisan oleh Soon Hoe, pelukis kontemporari Malaysia yang berpangkalan di Melbourne.

Terdahulu, pengarah festival berkenaan Datin Sunita Rajakumar dalam ucapan perasmiannya berkata festival itu merupakan program persembahan dan seni visual yang menampilkan kepelbagaian Malaysia yang kompleks.

Sunita berkata festival itu akan menampilkan persembahan seperti tarian, komedi, kesusasteraan serta seni visual dan setiap genre dipilih dan dihasilkan adalah daripada pengamal yang terkemuka.

Najib dan Rosmah serta pengunjung pusat beli-belah itu, kemudian dihiburkan dengan tayangan video, persembahan tarian, deklamasi sajak serta persembahan dikir barat dan gendang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.