Khamis, 27 Ogos 2015

BANYAK CAWANGAN UMNO DI JOHOR BUBAR JIKA MUHYIDDIN DIPECAT

shahbudindotcom


Mesyuarat MT UMNO pada 9 September ini bakal menjadi penentuan "hidup dan mati"  bagi masa depan politik Muhyiddin Yassin dalam parti itu.

Jika beliau dipecat, maka berakhirlah sejarah panjangnya bersama parti itu, tetapi kiranya tiada sebarang tindakan dalam mesyuarat itu nanti, bererti selamatlah masa depannya dan kekallah beliau dengan jawatan nombor dua itu sehingga pemilihan UMNO seterusnya.

Untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin dalam mesyuarat MT yang berikutnya tentu saja tidak relevan lagi, kecuali jika Timbalan Presiden UMNO itu terus lantang mengkritik Perdana Menteri, Najib Razak berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta secara terbuka.

Walaupun Muhyiddin mula mendapat sokongan dan simpati daripada pelbagai pihak sebaik terdengar ura-ura beliau akan dipecat pada 9 September ini, kemungkinan yang berlaku di Johor barangkali di luar jangkaan jika pemecatan itu benar-benar berlaku.

Seorang pemimpin UMNO Johor yang enggan namanya disebut memberitahu, banyak cawangan UMNO di negeri itu akan dibubarkan jika Muhyiddin dipecat pada mesyuarat MT UMNO 9 September nanti.

Katanya, tindakan pembubaran itu diambil sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang dihadapkan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu memandangkan beliau tidak terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah atau moral yang mewajarkan pemecatan diambil terhadapnya.

Jika dipecat, kata pemimpin itu, kesalahan Muhyiddin hanyalah kerana bercakap benar dan berterus terang untuk menyelamatkan UMNO.

Katanya, cawangannya sendiri adalah antara yang paling awal dibubarkan sekiranya nasib buruk menimpa Muhyiddin pada mesyuarat MT UMNO itu.

Beliau menambah, mereka hanya mengambil keputusan membubarkan cawangan UMNO yang bermakna akan menghentikan segala aktiviti dan kegiatan berkaitan parti, tetapi tetap bersama UMNO sebagai ahli biasa sahaja.

Meskipun tidak dapat menjangka jumlah tepat cawangan UMNO yang akan dibubarkan sebagai tanda protes itu, pemimpin terbabit meramalkan akan terdapat antara tiga hingga lima cawangan dari setiap bahagian akan mengambil keputusan tersebut.

Ini bermakna, dengan UMNO Johor mempunyai 26 bahagian, pemecatan Muhyiddin bakal melumpuhkan kira-kira 100 cawangan di negeri itu. Dan ini sekaligus merupakan berita baik bagi pembangkang di Johor yang sudah pun mempunyai 18 kerusi DUN di negeri itu.

Muhyiddin pula, meskipun sedang bercuti di luar negara bersama keluarga ketika ini, namun tidak santai dibuatnya lantaran menyedari kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO ibarat "telur di hujung tanduk"  menjelang mesyuarat MT yang akan datang ini.

Seolah-olah turut mengesan gerakan untuk menyingkirkannya sedang giat dijalankan di dalam negara, beliau lantas mengingatkan bahawanya dirinya bukanlah pengkhianat parti seperti yang dituduh oleh banyak pihak.

Dalam kenyataan medianya semalam, Muhyiddin mengatakan sumbangannya kepada parti sudah melebihi tempoh 40 tahun dan ketika pelbagai krisis melanda UMNO, beliau tetap setia bersama parti itu.

Malah, katanya,  ketika UMNO diharamkan dahulu, beliau mengambil tanggungjawab membina semula UMNO di Johor sehingga ia kembali kuat dan menjadi penyumbang kepada kemenangan BN setiap kali pilihanraya diadakan.

Beliau sebaliknya mahukan kemelut yang melanda ketika ini harus dihadapi secara berani dan berdepan atau akan mengakibatkan terjerumus menjadi negara yang gagal.

Blog ini pula, dua lalu lalu telah mendedahkan pengakuan seorang pegawai tinggi di ibu pejabat UMNO yang mengatakan akan terdapat "operasi kedua" dalam masa terdekat ini yang akan menyaksikan semua masalah Najib dalam parti itu dapat diselesaikan.

Pegawai itu berkata, selepas "operasi kedua"  yang menyaksikan Najib tiada masalah lagi dalam parti, beliau seterusnya dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada usaha menghadapi pilihanraya ke 14 yang dijangka akan diadakan pada 2018 nanti. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.