Ahad, 30 Ogos 2015

1MDB: Pena Lawan Kerakusan Kuasa


BABAK 1. Warga emas Cina Malaysia dan seorang Eropah di sebuah restoran di Damansara Utama ketawa besar apabila saya bertanya, apakah mereka berkomplot dan berkonspirasi?
 
BABAK 2. Seorang muda India Malaysia di Mid Valley Megamall berkata kepada saya pena lebih hebat daripada pedang (the pen is mightier than the sword).

BABAK 3. Netizen (warga Internet) membuat jenaka mengenai kejatuhan nilai ringgit dengan mewabakkan gambar isteri Perdana Menteri bersama isteri Presiden Obama.

Naik bukit mengait cempedak.....

Natijahnya, sama ada berkomplot, berkonspirasi, berartikulasi atau berjenaka di alam siber, pena mungkin tidak lebih hebat daripada pedang dalam zaman Sang Kelembai 1MDB ini. Segala-galanya telah menjadi silap mata dan klise. 
 
Maksud dan semantiknya sudah rosak jahanam terkena sumpahan, sentuhan dan badi Sang Kelembai. Pertimbangkan fakta berikut:

1. Orang tua misteri yang berbahas mencari kebenaran demi menyelamatkan negara dituduh mahu menggulingkan kerajaan. Tetapi tidak ada kejantanan untuk mendedahkan siapa “orang tua” itu. Meminjam bahasa kontemporari generasi muda, Perdana Menteri, (Datuk Seri) Mohd Najib bin Abdul Razak mungkin telah “dikencingkan” oleh “orang tua” itu. Timbalan Perdana Menteri baru (Datuk Seri) Ahmad Zahid bin Hamidi berkata “orang tua” itu akan jumpa PM, tapi tidak jumpa. Jadi orang tua misteri itu telah “kencing” PM.

2. Kerajaan sudah jadi sinonim dengan Mohd Najib dan konco-konconya. Daripada Perdana Menteri untuk semua, keterangkuman (inclusiveness) dan rakyat didahulukan dia sudah menjadi Perdana Menteri untuk yang setia, eksklusif dan kelangsungan diri diutamakan.

"All the President's men"

3. Demokrasi, mandat dan ahli parti adalah klise yang tujuannya semata-mata untuk mempertahankan Perdana Menteri dan beberapa ratus orang pembesar Umno dan Barisan Nasional serta beberapa kerat pesuruh awam.
 
4. Ungkapan pena lebih berkuasa daripada pedang juga sudah menjadi sebuah klise kerana pena kini bukan berlawan dengan pedang. Ia bukan pertarungan antara kebijaksanaan (pena) dan kekerasan (pedang).

5. Pena mungkin tetap pena, tetapi lawannya bukan pedang. Musuh pena dalam era Sang Kelembai 1MDB adalah wang dan kuasa!

6. Dalam keadaan di mana pena berlawan dengan wang dan kuasa, pena berkemungkinan kalah. Apatah lagi apabila ada pena yang tintanya sudah diwarnai wang dan kuasa.

7. Pena berfikir dan bertindak berdasarkan kebijaksanaan harian (conventional wisdom). Tindak-tanduk PM serta konco-konconya tidak berpaksikan kebijaksanaan konvensional separti kita fahami dan amali. Tindak-tanduk mereka berpaksikan dolak-dalik, putar-belit, pemesongan maklumat dan pendustaan.

Apa Kesudahannya?

1. Rakyat jelata terpaksa menggunakan kaedah-kaedah konvensional lain yang dibenarkan oleh perlembagaan dan demokrasi seperti berhimpun secara aman untuk menunjuk perasaan.

Perlembagaan benarkan perhimpunan aman
2. Ahli-ahli politik yang pedulikan kelangsungan negara serta kesejahteraan rakyat jelata perlu memikirkan kaedah konvensional yang digunakan oleh rakan-rakan mereka di banyak negara, iaitu menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya dan menubuhkan kerajaan perpaduan nasional (national unity government).
 
3. Kalau tidak berlaku perubahan segera, rakyat jelata akan terus menderita sambil menunggu kedatangan pilihan raya umum (PRU) dua atau tiga tahun lagi untuk memilih perwakilan baru memerintah negara.
4. Sementara itu, kerajaan yang terdesak dan menderita defisit kepercayaan (trust deficit) yang teruk tidak lagi mampu menangani pelbagai isu ekonomi yang datang bertimpa-timpa.

5. Nilai ringgit terus menjunam setelah jatuh ke bawah paras psikologi RM4, mata wang asing Bank Negara merudum ke bawah AS$100 bilion buat pertama kali dalam masa lima tahun, pelabur asing dan tempatan membawa keluar modal, orang kaya menukar ringgit kepada mata wang asing untuk melindungi nilai (hedging), pengguna takut berbelanja dan harga barang-barang import naik kerana nilai ringgit jatuh.

Maka jadilah kita rakyat jelata seperti dalam cerita Sang Kelembai. Yang mati dihempap pokok adalah anak Sang Kelembai dan yang menjadi batu terkena sumpahan Sang Kelembai adalah gajah.

Bersolek berdandan menjaga keterampilan
Saya akhiri dengan sebuah pantun dari buku “Bila Terkenang Zaman Dahulu- Pantun Pulau Pinang” suntingan cendekiawan Muhammad Haji Salleh:
 
Naik bukit mengait cempedak
Cempedak duduk di seberang sana
Muka putih berlumur bedak
Tapi perangai pula tak guna.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.