Khamis, 30 Julai 2015

Umno Pagoh kecewa, MB yakin temui kebenaran

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perasaan paling tepat menggambarkan perasaan Umno Pagoh apabila ketua mereka Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada kabinet hanya dua - kecewa dan dukacita.

Itu dijelaskan mereka dalam kenyataan dikeluarkan hari ini - sehari selepas Muhyiddin dilucutkan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri.

Perasaan itu, kata Umno bahagian berkenaan, dirasai kerana Muhyiddin diketahui rakyat berusaha mempertahankan hak rakyat dan kepentingan negara.

"Kami percaya tindakan Ketua Bahagian Pagoh (Muhyiddin) membangkitkan isu ini (merujuk kepada skandal 1MDB) adalah untuk mengetahui situasi sebenar yang menjadi tanda tanya rakyat," kata kenyataan itu.

Mereka juga yakin "kebenaran akan muncul akhirnya".

"Umno Bahagian Pagoh menyatakan sokongan untuk berdiri teguh di bawah kepimpinan Muhyiddin selaku ketua (walaupun) selepas apa yang menimpanya.

"Malah, Umno juga yakin Ahli Parlimen Pagoh ini akan lebih kuat dan bersemangat dalam memperkukuhkan parti selain percaya kebenaran akan muncul akhirnya," kata mereka.

Semalam Muhyiddin digugurkan daripada jawatan sebagai timbalan perdana menteri dalam langkah dianggap Datuk Seri Najib Razak sebagai "sukar tetapi terpaksa".

Kata Umno Pagoh, mereka juga percaya Allah akan bersama "pihak yang benar".

Pada masa sama Umno bahagian juga mengingatkan ahlinya - terutamanya di Johor - supaya bersabar dan melalui saat-saat mencabar kini dengan penuh kekuatan.

Sementara itu dalam kenyataan di Facebook, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga menyentuh mengenai isu "kebenaran".

Kata Mohamed Khaled, ahli Umno di negeri itu diminta bersabar.

"Berdoalah semoga Allah SWT memberi kita semua kekuatan untuk akhirnya menemui kebenaran," katanya.
 
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.