KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata
sumpah bai'ah yang kini menjadi pertikaian tidak melibatkan kesemua
wakil rakyat parti itu.
Merujuk kepada lafaz bai'ah 'cerai talak tiga', Mahfodz memberitahu
meskipun PAS sedar akan 'kesannya' terhadap hubungan suami isteri, namun
ia terpulang kepada mana-mana negeri untuk mengamalkannya.
Setakat ini, Kelantan konsisten untuk berpegang kepada bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga.
"Baiah ada dua jenis. Jika yang seluruh Malaysia pakai adalah janji
tidak akan mengkhianati PAS. Ia berat sebab jika seseorang khianati
dengan melompat parti atau tidak ikut dasar perjuangan Islam, maka Allah
SWT akan melaknatnya termasuk malaikat. Itu berat.
"Manakala yang satu lagi (cerai talak tiga) sesetengah tidak pakai.
Contoh di Johor tidak pakai cerai talak tiga. Di Kelantan ada
menggunakannya.
"Dahulu sebelum 2004 dan 2008, seluruh PAS menggunakan lafaz boleh
bercerai dengan isteri. Namun sesetengah negeri apabila ia dikaji, tidak
pasal-pasal menghukum isteri yang tidak berdosa.
"Namun ulama di Kelantan teruskannya, jadi ia terpulang kepada
masing-masinglah," katanya sambil menambah pendekatan bai'ah cerai talak
tiga yang diamalkan di Kelantan dilakukan sejak kepimpinan Allahyarham
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pertikaian mengenai isu bai'ah ini timbul setelah kumpulan progresif
PAS yang kalah pada pemilihan parti Jun lalu bertindak menubuhkan
Gerakan Harapan Baru (GHB).
Kononnya bertujuan mahu menyatukan semula pembangkang, usaha itu
bagaimanapun ditempelak oleh PAS kerana secara terang-terangan
memecah-belahkan perpaduan parti Islam berkenaan.
Bukan itu sahaja, tindakan golongan ini juga disifatkan tersasar
daripada lafaz bai'ah yang dilakukan mereka ketika menerima pelantikan
sebagai wakil rakyat.
Meskipun ada pihak kurang senang dengan bai'ah talak tiga yang
diamalkan PAS ini, Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob mengakui
hal itu sememangnya terkandung dalam sumpah berkenaan dan ia bukan
perkara main-main.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bagaimanapun mendakwa sumpah yang
diikrarkan pada 2008 melibatkan menceraikan isteri itu tidak
diperbaharui menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
Sementara itu, Mahfodz yang ditemui selepas Himpunan Solat Hajat Dan
Munajat Perdana 'Mendoakan Keselamatan dan kesejahteraan PAS' malam tadi
di Gombak menegaskan program itu tidak ada kaitan dengan penubuhan GHB
dan serangannya terhadap parti Islam itu.
Sebaliknya ia diadakan bagi memperkemaskan lagi perjuangan PAS dan menperkukuhkan sokongan ahli-ahli terhadap parti.
"Kita minta ahli-ahli PAS beristiqamah, bersatu-padu dan selamatkan PAS
supaya terus istiqamah. Tiada kena-mengena dengan hal yang lain,"
ujarnya.
Dalam pada itu juga, Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor enggan
mengulas kandungan ucapan raya ulama dunia, Dr Yusuf Qardhawi terhadap
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul berkenaan kerjasama dengan yang bukan
Islam.
"Saya tidak boleh komen sebab saya tidak baca," katanya ringkas.
Terdahulu ulama tersohor, Dr Yusuf al Qaradawi dikatakan mengutus
salam Syawal kepada Hadi dengan berharap pemimpin itu mampu berdepan
dengan cabaran yang sedang dilalui oleh PAS.
Ucapan itu digambarkan sebagai keprihatinannya terhadap gerakan
melemahkan PAS, sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan progresif PAS
melalui penubuhan GHB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.