RAJVINDER SINGH
Hasmy mengingatkan pihak
berkuasa bahawa apa-apa tindakan perlu diambil mengikut undang-undang
sedia ada dan tidak bertindak di luar peruntukan Perlembagaan
Persekutuan.
KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyuarakan rasa risau berkenaan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu berdasarkan fahaman politik mereka, baru-baru ini.
Suruhanjaya itu berkata, tindakan pihak berkuasa itu mengehadkan hak asasi rakyat Malaysia.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata,
pengehadan termasuk kebebasan bergerak, kebebasan berekspresi,
kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar, antaranya.
“Suruhanjaya ini benar-benar risau dengan
beberapa bentuk diskriminasi oleh pihak berkuasa terhadap orang ramai
yang berdasarkan kepada fahaman politik mereka,” katanya dalam
kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, SUHAKAM terperanjat dengan
keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk menguatkuasakan penggantungan
selama tiga bulan permit penerbitan terhadap dua akhbar bisnes yang
dimiliki oleh Kumpulan Media The Edge.
Katanya, penggantungan itu dibuat kerana
akhbar berkenaan menyiarkan laporan berkenaan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) yang dianggap menjejaskan keselamatan orang ramai dan
kepentingan negara.
“Kami turut kesal dengan keputusan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyekat
akses ke laman web Sarawak Report atas alasan keselamatan negara dan
rakyat.”
Hasmy berkata, SUHAKAM percaya semua
rakyat Malaysia mempunyai hak untuk kebebasan maklumat dan akses kepada
pandangan yang berbeza.
Beliau menggesa pihak berkuasa supaya menarik balik penggantungan permit dua akhbar berkenaan dan menghormati kebebasan media.
Tambahnya, penting untuk kita memelihara kebebasan dan kepelbagaian media.
Hasmy berkata keputusan untuk mengehadkan
kebebasan pergerakan beberapa individu, iaitu ahli politik pembangkang
dan aktivis hak asasi manusia merupakan satu lagi keputusan kerajaan
yang sukar diterima.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen gagal memberitahu semua individu yang terlibat dalam hal ini, sebab keputusan itu diambil.
“Keputusan larangan perjalanan itu dibuat
secara sewenang-wenang, tidak munasabah dan tidak seimbang, bukan
sahaja bertentangan dengan undang-undang negara, tetapi juga
undang-undang dan norma hak asasi manusia antarabangsa.”
Beliau menggesa pihak berkuasa supaya
segera menerangkan situasi berkenaan dan memberitahu mereka yang
terlibat dalam larangan perjalanan.
Hasmy berkata, Jabatan Imigresen perlu memberi tempoh yang munasabah bagi mereka membuat rayuan kepada jabatan itu.
Beliau mengingatkan pihak berkuasa bahawa
apa-apa tindakan perlu diambil mengikut undang-undang sedia ada dan
tidak bertindak di luar peruntukan yang disediakan dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.