MALAYSIAKINI
Rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi cuaca lebih panas berikutan monsun barat daya yang sedang melanda negara ini.
Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Datuk Che Gayah
Ismail berkata musim monsun itu akan membawa cuaca panas dan kering,
manakala musim kemarau diramalkan berlanjutan hingga September.
"Hanya terdapat sedikit hujan, terutama pada awal pagi di kawasan pantai
dan kawasan di selatan Selangor," katanya kepada Bernama semalam
sambil menjelaskan bahawa keadaan cuaca mungkin bertambah buruk serta
mengakibatkan jerebu sekiranya terdapat pembakaran terbuka secara
berleluasa.
Pemerhatian rambang di ibunegara semalam mendapati keadaan agak
berjerubu, tetapi, menurut Che Gayah, keadaan itu mungkin kerana tiada
hujan sejak beberapa hari lepas.
Beliau berkata ia bukan berpunca daripada aktiviti gunung berapi di
Gunung Sinabung di Sumatra Utara, walaupun abu gunung berapi menuju ke
arah tengah Semenanjung Malaysia dengan ketinggiannya ketika melalui
Semenanjung adalah lebih 6,000 kaki.
Berdasarkan imej terbaru satelit Pusat Meteorologi Khas ASEAN (AMSC),
tiada tompok panas dikesan di Semenanjung Malaysia, tetapi terdapat
masing-masing dua di Sabah dan Sarawak.
Semakan dengan Jabatan Alam Sekitar mendapati kesemua 52 kawasan yang
dibuat pemantauan kualiti udara di seluruh negara semalam menunjukkan
Indeks Pencemaran Udara berada pada paras baik dan sederhana.
Sementara itu, presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Ashok Philip
berkata musim panas sekarang boleh mengakibatkan penyahhidratan
sekiranya manusia banyak berpeluh dan tidak minum cukup air.
Katanya, keadaaan itu boleh berlaku walaupun mereka tinggal di tempat
teduh, manakala keadaan lebih teruk akan menimpa mereka yang terdedah
secara langsung kepada cahaya matahari.
"Apabila kadar penyahhidratan meningkat, seseorang yang terjejas akan
mula berasa lemah, pening dan tidak menentu atau keliru kerana tekanan
darah mula menurun dan suhu tubuh pula meningkat.
"Untuk sentiasa berada dalam keadaan sejuk dan bagi mengelak daripada
masalah berkaitan haba, minumlah banyak air," katanya kepada Bernama
melalui emel semalam, sambil menjelaskan bahawa mereka yang mengalami
penyahhidratan perlu berpindah ke tempat sejuk dan minum banyak air.
"Beringatlah agar tidak meninggalkan seseorang dengan bersendirian di
dalam kereta yang tidak bergerak dengan penghawa dinginnya ditutup dan
tingkapnya pula tidak dibuka - suhu boleh meningkat dengan mendadak
kepada lebih 50 darjah Celsius akibat kesan rumah tanaman," katanya.
Dr Ashok juga menasihati mereka yang berpuasa supaya sering minum air
pada waktu malam dan menambah pengambilan bendalir sebelum memulakan
puasa.
Kata beliau, walaupun langkah itu mungkin menimbulkan keadaaan yang agak
tidak selesa kerana boleh menyebabkan seseorang itu kerap ke tandas,
tetapi itulah yang perlu dilakukan untuk terus berasa sejuk dan sihat.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.