IKHWAN HAZWAN
Dari kiri, Mohd Nazmi dan
Mohd Asfar menunjukkan memorandum yang dijadual dihantar kepada Perdana
Menteri, petang ini. Foto TRP/Arif Kartono
KUALA LUMPUR, Pengusaha-pengusaha bas henti-henti meminta kerajaan mempercepatkan bayaran Dana Bantuan Sementara (ISF) yang kini sudah tertangguh selama enam hingga lapan bulan.
Pengerusi Konsortium Transnasional Berhad
(KTB), Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, berkata disebabkan kelewatan
pembayaran dana itu menyebabkan pengusaha mengalami masalah aliran tunai
yang kritikal bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.
Menurutnya, pengusaha terutamanya yang
menjalankan operasi di luar bandar – bas henti-henti merupakan
pengangkutan awam utama – menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi
mereka.
“Kerajaan perlu sedar bahawa pengusaha
bas ini menjalankan perniagaan dan bas henti-henti hanya memberikan
margin keuntungan yang cukup tipis.
“Dengan kos operasi, penyelenggaraan,
insurans dan gaji pekerja yang semakin meningkat menyebabkan ada
pengusaha yang tidak dapat meneruskan perkhidmatan mereka atau dalam
erti kata lain gulung tikar.
“Jadi aliran tunai dalam perniagaan
sangat penting dan melalui dana yang diperuntukkan kerajaan tersebut ia
sedikit sebanyak memberikan pengusaha sedikit ruang untuk bernafas.
Namun ia perlulah dibayar mengikut waktu yang dijanjikan,” katanya pada
sidang media di Wisma Wahida KTB di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohd Asfar Ali.
Tambah Nadzmi lagi, pengusaha bas telah
menandatangani memorandum berkenaan masalah tersebut dan akan
menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada
petang ini yang dijadual pada jam 2.30 petang ini di Pejabat Perdana
Menteri.
“Diharapkan dengan penyerahan memorandum
tersebut dapat menyelesaikan masalah kelewatan dan pembayaran dari
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dapat disalurkan kepada para
pengusaha.
“Ia bagi membolehkan kami supaya dapat
meneruskan perkhidmatan yang terbaik terutamanya kepada rakyat yang
tinggal di luar bandar seperti di Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan
Melaka,” ujarnya.
Sementara itu, Asfar berkata, SPAD ada
memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan dana sebanyak
RM19 juta pada 7 Julai lalu.
Namun, katanya, sudah 20 hari berlalu bayaran tersebut masih belum disalurkan kepada pengusaha bas yang sangat memerlukannya.
“Pengusaha bas henti-henti kini sangat
tertekan dan terdapat ahli PMBOA di Sandakan, Sabah telah mengemukakan
notis untuk mengurangkan operasi mereka.
“Sekiranya masalah ini berlarutan,
pengusaha bas berkenaan tidak mempunyai jalan lain selain daripada
menamatkan operasi perkhidmatannya yang mana ia akan memberikan kesan
kepada pekerja dan juga pengguna,” tegasnya.
Untuk rekod, terdapat 150 pengusaha bas
henti-henti yang merupakan ahli PMBOA yang melibatkan lebih 2,000
pemandu bas yang bekerja di bawahnya manakala KTB pula mempunyai 750
pemandu yang bernaung di bawah konsortium tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.