Khamis, 30 Julai 2015

Ikram desak suruhanjaya diraja siasat 1MDB




Oleh Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad 


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin melahirkan kegusaran mengenai tindakan Perdana Menteri melakukan rombakan kabinet terutamanya dengan melantik empat orang Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, termasuk Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri.

Rombakan ini beserta tindakan menamatkan perkhidmatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang terlibat secara langsung mengetuai Pasukan Petugas Khas menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB amat membimbangkan

Setiap kali bila dibangkitkan isu 1MDB, jawapan yang diberikan adalah agar kita tunggu siasatan tersebut selesai dijalankan. Termasuklah yang mutakhir, persoalan yang dibangkitkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Cheras yang telah dijawab oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang sekali lagi meminta agar rakyat menunggu hasil siasatan tersebut selesai dijalankan.

IKRAM berpandangan, tindakan-tindakan tersebut hanya menghakiskan lagi kredibiliti Perdana Menteri dan Kerajaan yang seterusnya akan menjejaskan lagi usaha mengembalikan kredibiliti dan maruah negara serta keyakinan para pelabur.

IKRAM mengharapkan agar segala tindakan yang ingin diambil perlu meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.

Dengan ini, sekali lagi IKRAM mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bertanggungjawab kepada Parlimen bagi menyiasat kes 1MDB.

Moga Allah s.w.t. memelihara dan menyelamatkan Malaysia daripada sebarang malapetaka yang lebih buruk.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.