Jumaat, 3 Julai 2015

'Golongan fobia Islam cabaran saya'

Mohammad Fauzi Yusoff
Mohammad Fauzi Yusoff
 
 
 
AZAMNYA melibatkan diri dalam Pas sejak berusia 19 tahun adalah kerana kecintaannya terhadap Islam dan ingin menghilangkan persepsi buruk agama Islam dalam kalangan masyarakat setempat.

MOHAMMAD FAUZI YUSOFF, 45, menceburkan diri ke dalam dunia politik sejak zaman remajanya sebagai ahli biasa. Beliau pernah menyertai Unit Amal Pas yang melakukan kerja bawahan antaranya menampal poster dan menjaga parkir di sesebuah majlis Pas.

Lulusan dari sebuah universiti di Syria, Mohammad Fauzi kini memegang amanah dari pimpinan Pas Pusat apabila dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang baharu. Bapa kepada empat orang anak berusia setahun hingga 10 tahun ini kini menguruskan sebuah sekolah agama, Sekolah Rendah Islam Al Ansar di bawah Pas kawasan Balik Pulau.

Anak jati Sungai Rusa, Balik Pulau ini mempunyai isteri yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Balik Pulau. Anak sulung dari enam beradik ini sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan antaranya Ketua Cawangan Sungai Rusa, Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Balik Pulau, juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Balik Pulau dan Yang Dipertua Pas Kawasan Balik Pulau.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas negeri dan Ketua Dewan Ulama Pas negeri namun melepaskan jawatan-jawatan tersebut selepas dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri. Ikuti wawancara Mohammad Fauzi bersama wartawan Sinar Harian, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI ketika ditemui di Sekolah Rendah Islam Al Ansar, Balik Pulau.

Apa tujuan masuk Pas?

Saya masuk Pas bukan untuk tentang Umno, tetapi kerana kefahaman Islam, tentang apa yang nak diperjuangkan Islam. Islam adalah rahmat pada segala alam, yang sempurna. Islam yang dilaksanakan dalam masyarakat sekarang adalah Islam yang belum sempurna. Umat Islam dalam keadaan lemah, sebab itu kita memperjuangkan Islam melalui Pas. 
 
Adakah usaha ini dilihat sebagai satu cabaran?

Ya, saya melihat ini sebagai satu cabaran buat saya dan saya berazam untuk menjadikan ia satu kefahaman kepada masyarakat untuk semua agama, bukan Islam sahaja malah bukan Islam juga.

Sebab Pas ini bukan sahaja parti politik tetapi sebuah gerakan Islam antaranya dakwah, tarbiah (bersifat dalaman) dan pembaikan dalam kalangan ahli sebab kita nak tunjukkan kepimpinan yang baik, bertakwa. Kepimpinan Pas adalah dalam kalangan orang bertakwa, jika jadi pemimpin, masyarakat rasa lega, jika jadi bapa, keluarga akan bahagia, ini yang kita mahukan. 
 
Apakah cabaran untuk Ustaz apabila dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri yang baharu?

Cabaran paling besar saya adalah menghapuskan ‘fobia Islam’ dalam kalangan masyarakat. Itu yang menjadi cabaran paling menduga saya. Bagi saya, kenyataan DAP untuk putuskan hubungan dalam PR bukan satu cabaran yang besar.

Pas ada sejarah, dari penubuhan Pas itu sendiri, masuk BN, kemudiannya masuk PR. Bagi Pas, kita nak teruskan perjuangan kerana itu pendirian yang diambil Pas Pusat. Kita akan teruskan dengan mandat rakyat. Sebab itu kita kekalkan kedudukan jawatan, yang mana tak pecat, kekalkan. Ini kerana, jika kita tinggal (jawatan itu), apa akan jadi pada rakyat? Kita tidak pandangan dari aspek imbuhan atau sebagainya.
 
Hubungan Pas negeri dengan Kerajaan Pulau Pinang?

Setakat mana yang boleh. Maknanya yang dia tak mahu (wakil kita), kita nak kacau buat apa? Dia pecat, kita terima keputusan mereka. Setakat ini, wakil-wakil kita seperti Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) berjalan seperti biasa.

Tidak ada masalah, bagi kita rakyat sebagai keutamaan. Cuma mana yang dia tak mahu dan pecat, itu soal dialah, bukan soal kita. Kita hanya tidak mahu pemecatan berpilih. Jika benar ada, kita nak tanya, kenapa? Ada apa di sebaliknya?
 
Hubungan Pas dengan DAP di Pulau Pinang?

Parti itu biasalah, sebab semuanya terletak pada keputusan rasmi Majlis Syura Ulama. Kita tidak membuat apa-apa tindakan sebelum tindakan diputuskan Majlis Syura. Parti dan kerajaan adalah dua perkara berbeza. Kerajaan berkaitan dengan rakyat.

Jika Pulau Pinang ini, bukan Kerajaan Negeri DAP tetapi Kerajaan Negeri PR. DAP ada 19 kerusi termasuk PKR walaupun dia dominan tetapi dia kena melihat asas kekuatan walaupun Pas hanya ada satu kerusi, namun Pas mempunyai akar umbi yang kuat.

Contohnya kita ada 1,041 orang JKKK, maknanya ada orang Pas yang berkhidmat di kawasan PKR dan DAP juga. Bagi saya, tiada masalah, cuma kita tidak mahu rakyat jadi mangsa. Bagi kita ini soal prinsip yang kita nak bawa, sepatutnya DAP kena hormati prinsip kita dan kita pun hormat prinsip mereka, walaupun bertentangan dengan perjuangan kita, kita faham.
 
Bagaimana ustaz melihat PR sekarang?

Pakatan hanya pakat saja, bukan macam BN. Pas parti lain, DAP lain, PKR lain cuma kebersamaan kita itu yang menyatukan kita. Sebab itu saya kata, di sini tidak ada ketua. Lim Guan Eng tidak boleh putuskan itu dan ini.

Dia dipilih rakyat dan dia menang, memegang amanah dari rakyat. Kerajaan negeri dipegang oleh parti yang menang dalam pilihan raya. Parti yang menang ini adalah pengurus, bukan kerajaan negeri ini milik DAP.

Ini kerajaan negeri, dia pemegang amanah saja, pengurus kepada negeri ini. Dia dibayar gaji, Ketua Menteri dan exco-exco dibayar gaji. Maknanya mereka bekerja dengan rakyat. Ini seharusnya kita kena faham.

Sebab itu saya melihat dalam isu pemecatan beberapa orang dalam kalangan Pas, lantikan ini adalah lantikan kontrak. Boleh diberhentikan, itu tiada masalah, malah kita tidak pertikai, tapi pemecatan sepatutnya ikut Prosedur Operasi Standard (SOP), perlu dipanggil untuk diberitahu mengapa dipecat, jika pemecatan dibuat tanpa alasan, maknanya tidak ikut prosedurlah walaupun kontrak. Masyarakat boleh menilai.
 
Apa pandangan ustaz berhubung senario politik di Pulau Pinang?

Biasa sahaja cuma Pas itu mempunyai cara berbeza dengan Islamnya, kita parti politik tapi parti politik Islam, yang patuh syariah dan tidak membelakangnya. Rakan dalam Pakatan, DAP mereka sosialis, demokratik, sama juga PKR, masing-masing ada prinsip.

Kita menghormati prinsip masing-masing dan sama-sama perjuangkan isu kebersamaan iaitu rasuah, tangani kezaliman. Dalam  masa sama kita ada agenda bersama. DAP mungkin dia lihat benda ini (rasuah) tidak baik kerana beri kesan kepada negara, dan Pas juga melihat perkara sama namun kita percaya, orang yang terima dan beri rasuah akan dimasukkan ke neraka.
 
Komen penolakan hudud oleh DAP.

Itu tidak pelik, kita dah tahu dia tidak sokong dari awal lagi, sebab itu dia kena hormatilah, kita pun tak laksanakan di Pulau Pinang tetapi di Kelantan sebab Pas ‘solid’ di sana. Oleh itu, di sana lah yang sesuai untuk dilaksanakan.

Kita tidak bincang untuk laksanakan di sini pun. Kita mengutamakan dakwah, Pas sendiri akan menceritakan tentang hudud. Kita kena tunjukkan dulu di Kelantan. Hari ini kita melangkah dengan baik. Rakyat boleh menilai sejauh mana kesungguhan Pas dari dulu hingga kini.
 
Bagaimana dengan kenyataan DAP mengisytiharkan PR sudah berkubur?

Takkan sebuah kerajaan buat keputusan tanpa rujuk keputusan rasmi? Saya melihat usul Dewan Ulama Pas itu baru mencadangkan ke Majlis Syura Ulama Pas kerana yang ada kuasa untuk putuskan hukum adalah Majlis Syura Ulama Pas.

Bagaimanapun, sekarang ini Majlis Syura Ulama Pas belum buat keputusan lagi. Bila belum buat keputusan maknanya tidak rasmi lah. Bagaimana seorang Ketua Menteri boleh buat keputusan tanpa merujuk kepada keputusan rasmi, ini kerajaan.

Muktamar Pas adalah mesyuarat dalaman Pas, Pas boleh bercakap apa sahaja kerana ia dalam rumah tangga Pas, sama macam DAP, mereka juga ada rumah tangga sendiri. Sepatutnya Guan Eng, jika dia matang dan ahli politik yang hebat, dia tidak akan tergopoh-gopoh dan melatah untuk buat keputusan.

Bagaimana pula apabila Ketua Menteri menggunakan kenyataan ‘usul diterima tanpa bahas’ sebagai alasan untuk mengisytiharkan PR berkubur?

Bagi saya itu fahaman dia, sama ada dia mahu mencari fahaman yang betul dengan merujuk kepada kepimpinan Pas atau dia hanya mendengar  tanpa merujuk kepada kita. Sepatutnya dia perlu merujuk kepada kita.

Itu akhlak dia, kita ada akhlak kita. Masyarakat boleh melihat tindakan mereka dalam keadaan panas ini. Pas ambil keputusan untuk tidak memanaskan keadaan dan kita akan melihat kepada keutamaan rakyat.

Kita kena jalan seperti biasa, setakat mana yang boleh. Tunggu keputusan rasmi oleh kepimpinan Pas. Nak berkubur macam mana, nama pun Pakatan. Pakatan mana boleh satu pihak? Seorang takkan dikatakan Pakatan.

Itu nama dia pakat, pakat sudah tentu banyak pihak. Kita belum buat keputusan lagi, jika DAP nak masuk kubur, itu dia punya pasal lah. Dia nak masuk kubur sendiri, kita tidak boleh buat apa sebab itu tindakan dia sendiri. Kita tidak masuk campur rumah tangga dia. Kita kekal seperti biasa dan jalankan tanggungjawab seperti biasa.
 
Adakah dengan pelantikan ini ustaz berasa terbeban?

Saya sudah biasa dengan banyak jawatan besar sebelum ini. Bagi saya, ini bukan beban tetapi kayu pengukur kewibawaan saya. Saya akan bergerak secara berjemaah. Saya nak dilihat bergerak dengan kekuatan yang boleh dirasai oleh semua masyarakat.

Saya tidak mahu orang nampak saya sahaja sebaliknya cawangan-cawangan, kawasan, Pemuda Pas dan Muslimat Pas yang berperanan.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.