shahbudindotcom
Sekali
lagi video rakaman curi "menembak" Najib Razak tersebar dengan meluas.
Dan sekali lagi juga ia berkaitan dengan Muhyiddin Yassin, cuma mungkin
yang merakamnya saja orang yang berbeza.
Beberapa
bulan sebelum ini telah tersebar rakaman video mengenai ucapan
Muhyiddin di sebuah program tertutup UMNO di Janda Baik di mana beliau
"memuntahkan peluru" dengan mahukan Najib memecat Ahli Lembaga Pengarah
1MDB, menyiasat CEOnya serta membenarkan polis masuk menjalankan
siasatan terhadap syarikat pelaburan kerajaan yang bermasalah dan sarat
hutang itu.
Rakaman
itu telah menggegarkan negara buat seketika dan ia menunjukkan
perbezaan pendirian yang ketara antara Muhyiddin dan Najib. Sementara
Najib dilihat banyak berlengah dan bermain dengan masa dalam menangani
isu 1MDB, Muhyiddin jelas lebih terbuka dan objektif mengenainya.
Video
di Janda Baik itu kononnya dirakam curi oleh Timbalan Ketua UMNO
Bahagian Segambut, Kapten Azri Mohd Zain. Heboh ketika itu siasatan
sudah dijalankan, termasuk kenyataan oleh Ahmad Zahid Hamid yang
merupakan penganjur program tersebut dan kini sudah dilantik Timbalan
Perdana Menteri, yang mengatakan "tiada maaf" bagi perakam video
tersebut.
Malangnya
sehingga sekarang tiada khabar berita mengenai hasil siasatan
mengenainya. Senyap sesenyap-senyapnya walaupun isu 1MDB sudah melarat
sehingga kepada dakwaan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib.
Hanya
yang kita tahu perbezaan pendirian itu akhirnya terlerai Sabtu lalu
apabila Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan
digantikan oleh Ahmad Zahid Hamidi.
Kini
hanya sehari selepas dipecat daripada jawatannya, tersebar sekali lagi
video rakaman curi melibatkan Muhyiddin yang juga "tembakannya"
ditujukan kepada Najib.
Melalui
rakaman perbualan antara Muhyiddin dengan beberapa tetamu di rumahnya,
termasuk Mukhriz Mahathir dan Abdul Kadir Sheikh Fadzir, bekas Timbalan
Perdana Menteri itu mengatakan beliau sudah bersemuka dengan Najib
berhubung dakwaan melibatkan wang RM2.6 bilion sebagaimana laporan WSJ
itu.
Muhyiddin,
dalam video itu kemudian mengatakan Najib mengakui mengenai wang
tersebut dan rakaman itu berakhir dengan ayat, "lalu saya tanya, kenapa
masuk dalam akaun peribadi anda?"
Video
hampir seminit itu sudah pun mula tersebar luas di alam maya sejak
malam tadi dan menjadi perbualan hangat ketika ini. Tidak saja di bandar
dan kota, makcik-makcik tua di kampung yang mempunyai telefon pintar,
sebahagiannya kerana hadiah daripada anak-anak atau membelinya hasil
wang BR1M, turut berpeluang menontonnya.
Maklumat sekarang sudah menerobos hingga ke ceruk kampung jauh di pedalaman. Meriah beb...
Ada
beberapa rakan memberitahu, mereka juga dihubungi oleh ibu, kakak atau
emak saudara di kampung sambil bertanya, "betulkah apa yang disebut
Muhyiddin itu?"
Walaupun
video itu merupakan rakaman curi dan sekali lagi siapa perakamnya
sedang dipertikaikan dan dicari, yang penting di sini ialah apakah isi
yang diperkatakan oleh Muhyiddin itu. Lupakanlah menempelak siapa
perakamnya dan cuba menyalahkan perbuatan itu kerana perakam curi ini
ialah pencuri yang baik, budiman dan berjasa kepada negara.
Lihat mesej dan isi rakaman video itu jika jujur mahukan kebenaran.
Dengan
itu, bukan saja Muhyiddin perlu disiasat dan diambil keterangan dengan
segera oleh pasukan petugas khas yang sedang menyiasat isu wang RM2.6
bilion itu, malah Najib yang didakwa sudah mengaku kepada bekas Timbalan
Perdana Menteri itu, haruslah dengan pantas juga diambil tindakan.
Tiada
alasan lagi untuk berlengah daripada menyiasat dan mengambil keterangan
kedua-dua mereka kerana ia sudah menjadi perbualan yang merata ketika
ini.
Gani
Patail juga perlu disiasat sama dan diambil keterangannya, mana tahu
jika beliau ada memiliki bukti atau dokumen mengenainya ketika beliau
mengetuai pasukan petugas khas, sebelum disingkirkan atas sebab-sebab
kesihatan Isnin lalu.
Video
ini adalah cabaran kepada pasukan petugas khas yang sudah menangkap
lima orang sebelum ini, termasuk seorang despatch baru-baru ini. Tetapi
sejak Gani disingkirkan, pasukan petugas ini seolah-olah senyap tiada
khabar berita lagi.
Kebimbangan
dan tanda tanya rakyat terhadap isu 1MDB, wang RM2.6 bilion melibatkan
Najib, bagaimana negara ini diurustadbir dan wibawa pasukan petugas
khas, khususnya setelah Gani disingkirkan secara tiba-tiba, sedang
mencanak naik waktu ini.
Seiring
dengan pemecatan Najib yang menyaksikan juga Peguam Negara disingkirkan
dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC terpaksa dirombak
berikutan sebahagian ahlinya diberikan habuan kedudukan dalam kerajaan,
ramai yang melihat negara ini sedang menuju zaman gelap dan hitamnya.
Dengan
tanda-tanda yang semakin nyata sekarang ini, kebimbangan dan tanda
tanya rakyat hanya dapat dikendur serta dilegakan jika Muhyiddin dan
Najib dapat segera disiasat dan diambil keterangannya dalam waktu yang
terdekat ini.
Tiada alasan lagi sebenarnya. Noktah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.