SHAH ALAM: Pengerusi DAP Selangor Tony Pua hari ini berkata, mustahil
untuk meneruskan kerja seperti biasa di negeri yang dipimpin Pakatan
Rakyat (PR) susulan usul muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan
DAP.
Beliau berkata, "sukar dibayangkan" bagaimana seseorang boleh percaya
PR dapat diteruskan selepas usul itu diterima tanpa perbahasan oleh
muktamar PAS, walaupun parti Islam itu berkeras mengatakan keputusan itu
belum muktamad.
"PR di Selangor kini berada dalam keadaan yang tidak pernah dialaminya.
Satu-satunya perkara yang pasti dalam situasi ini ialah, keadaan tidak
boleh, atau tidak akan sama lagi, selepas ini.
"Sukar dibayangkan sesiapa boleh berfikir atau percaya PR boleh terus
wujud dalam keadaan semasa ini dengan adanya usul yang begitu jelas,"
kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Pua berkata, hubungan rapuh antara pemimpin PR Selangor diburukkan lagi
dengan ancaman Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Nasrudin Hassan
pada Jumaat, mengatakan ulama akan menggunakan "lutut" dan "siku" mereka
mengajar DAP.
Pua juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri boleh berfungsi
sekiranya ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) PAS enggan
bekerjasama dengan exco DAP.
"Boleh bayang tak bagaimana mesyuarat exco negeri akan menjadi di luar
realiti, dengan exco PAS mengabaikan exco DAP atau berpura-pura mereka
tidak wujud?
"Masalahnya tidak hanya akan timbul dalam dalam exco, tetapi di semua peringkat kerajaan Selangor.
"Adakah ahli majlis tempatan PAS, contohnya tidak akan mengendahkan
semua komen, cadangan dan saranan ahli majlis tempatan DAP ketika
menjalankan tugas mereka di peringkat kerajaan tempatan?,” katanya.
Pua berkata tumpuan kini ialah kepada bentuk penyusunan semula politik
yang perlu dilakukan bagi membolehkan kerajaan campuran baharu itu terus
berkuasa di Selangor.
Katanya, kegagalan untuk mencari gabungan yang menerima polisi bersama
PR mungkin membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Selangor dan pilihan
raya terpaksa diadakan.
"Setakat hari ini, tiada keputusan muktamad dibuat DAP Selangor. Pada
hari akan datang, kita akan berbincang dengan Jawatankuasa Eksekutif
Pusat DAP dan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat di peringkat
nasional.
"Tidak seperti pemimpin beberapa parti politik lain yang kita tahu,
rakyat Malaysia jangan risau, pemimpin DAP di Selangor tidak akan
menjadi hipokrit dan mengkhianati prinsip kami untuk kekal berkuasa
walau apa jua keadaannya," kata Pua.
PAS pada muktamar tahunannya ke-61 yang berakhir pada Sabtu, menerima
tanpa bahas usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Pemimpin PAS
bagaimanapun menegaskan ia bukan keputusan muktamad.
Usul itu asalnya dibawa Dewan Ulama, tetapi kata putus sama ada untuk
melaksanakannya atau tidak akan dibuat Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat
dan Majlis Syura Ulama.
Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata pada Sabtu,
usul itu tidak memberi kesan kepada pemimpin PAS dalam kerajaan negeri
itu kerana ia belum muktamad.
Katanya, beliau tidak tahu mengapa Dewan Ulama menimbulkannya, sambil menambah, ia tidak menggambarkan pendirian PAS Selangor.
Iskandar berkata, PAS Selangor tiada masalah dengan DAP atau PR, dan
beliau akan menyatakan perkara ini kepada AJK Pusat apabila ia
membincangkan usul itu lebih lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.