HAZAWANI ARIFFIN
Sudah menjadi rutin
harian pelajar mengemas tilam setiap pagi kerana bilik yang sama akan
digunakan sebagai kelas untuk mereka belajar - Foto TRP/Azrol Ali
SHAH ALAM- Walaupun sudah genap setahun berlalu, kerja-kerja membina semula Sekolah Tahfiz Wa Ta’alim Al-Islamiyyah (MUTQAN) yang musnah akibat kebakaran masih tergendala kerana pihak pengurusan madrasah masih belum dapat mengutip dana yang mencukupi.
Buat masa ini, kos untuk pembinaan
bangunan yang mencecah sehingga RM700,000 itu masih tidak dikumpul malah
mereka mendakwa tidak mendapat perhatian dan bantuan dari mana-mana
pihak yang bertangungjawab.
Menurut Pengetua sekolah tahfiz
berkenaan, Muhammad Redhuwan Zaini, Jabatan agama Islam Selangor (JAIS)
tidak dapat memberi bantuan kerana sekolah berkenaan belum mendapat
pengiktirafan jabatan itu.
“Sebenarnya sebelum ini, kami telah
menyiapkan borang dan menghantar kepada JAIS tetapi ia dipulang semula
atas alasan maklumat yang dikehendaki tidak lengkap.
“Setelah
bangunan sekolah disiapkan, pihak kami sekali lagi menghantar borang
kepada JAIS namun tiada wakil yang datang menemui kami disini
sehinggalah berlakunya kebakaran.
“Kami juga tidak dimaklumkan oleh JAIS
kenapa borang itu dipulangkan, malah bila dihubungi tiada yang memberi
respons. Kami cuma diberitahu pengiktirafan akan diberi jika bangunan
sekolah dapat disiapkan,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.
Kini mereka di dalam dilema. Untuk
mendapatkan bantuan, mereka perlu mendapatkan pengiktirafan dan untuk
mendapatkan pengiktirafan JAIS itu mereka perlu ada bangunan sekolah,
sedangkan bangunan tidak dapat dibina kerana mereka kekurangan dana.
Kerosakan yang teruk akibat kebakaran itu
melibatkan asrama di mana pelajar-pelajar terpaksa tidur berhimpit di
bilik yang sempit dan hanya beralaskan tilam untuk tidur. Malah, tenaga
pengajar juga terpaksa tidur berhimpit bersama pelajar.
Selain asrama pelajar, pejabat pengurusan, bilik guru dan kantin turut musnah.
“Di dalam bilik sempit inilah para pelajar akan tidur, bersalin pakaian serta berbuka puasa dan juga sahur.
“Semasa berbuka puasa pula, kami perlu
membayar pihak masjid untuk menyediakan juadah berbuka kepada pelajar,
tetapi jika ada tajaan dari mana-mana pihak kami akan memberitahu pihak
masjid untuk tidak memasak bagi menjimatkan kos pembelanjaan,” jelasnya.
Ramai pelajar madrasah datang dari
keluarga susah maka ada yang gagal membayar yuran bulanan tepat pada
masanya dan bagi mengurangkan kos pembelanjaan, para pelajar terpaksa
mengutip sumbangan orang ramai di masjid berhampiran.
“Pihak masjid banyak membantu dalam
memberi sumbangan namun ianya masih tidak mencukupi, sebab itu pada
setiap hari Jumaat para pelajar akan mengutip sumbangan di masjid-masjid
sekitar kawasan.
“Bagi meringankan beban, pihak masjid
melantik para pelajar menjadi imam dan bilal di masjid berhampiran dan
mengutip sumbangan apabila selesai khutbah Jumaat bagi membolehkan
mereka membayar yuran bulanan,” tambah beliau.
Beliau berkata bagi mereka yang ingin
menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban pelajar atau
membantu membina sekolah mereka, bolehlah disalurkan terus kepada pihak
masjid Al-Fallah atau melalui akaun masjid.
Bagi sesiapa yang ingin menderma bolehlah
menghubungi Muhammad Redhuwan di 013-4749002 atau salurkan sumbangan ke
pusat pendidikan Al-Fateh di akaun Maybank 560214058216
Alamat facebook Madrasah Mutqan pula: https://www.facebook.com/pages/Mutqan-Madarasah-Tahfizul-Quran-Wa-At-Talim-Al-Islamiyyah/135529789970041
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.